Allah telah memberikan satu kemuliaan kepada masyarakat Arab yang digelar jahiliah lebih 1400 tahun dahulu dengan Islam. Sewaktu seluruh dunia dalam kejahilan dari sudut rohani, cahaya Islam yang dating dari Mekah telah menerangi seluruh ceruk dunia. Dalam tempoh yang cukup singkat iaitu selama 23 tahun, Allah telah menjadikan manusia yang memilih-Nya sebagai satu-satunya Tuhan mereka telah mencapai puncak kemajuan sehinggakan sejarah dunia tidak mampu mendatangkan contoh lain yang seumpamanya.

Allah telah memberikan kepada tangan orang Islam pada ketika itu cahaya petunjuk, hidayah serta kebaikan dan kejayaan. Dengan sinar cahaya ini, Allah telah melajukan pergerakan mereka di landasan kemajuan sehingga Dia telah memberikan pemerintahan dunia kepada orang Islam dengan gilang-gemilang sehingga berkurun lamanya. Sehinggakan setiap kebatilan yang cuba bangkit untuk menentang, pasti dan pasti dihancurkan oleh Allah. Perkara ini adalah suatu hakikat yang tidak mungkin dapat disangkal lagi. Namun begitu, kemudiannya Allah telah menarik kembali kegemilangan ini sehinggalah kini ia menjadi tinggalan sejarah.

Apabila kita mengalihkan pandangan daripada lembaran-lembaran sejarah kepada realiti masa kini, maka kita akan mendapati umat Islam kini berada dalam keadaan yang sangat hina, lemah dan tidak mengetahui apa-apa, tanpa kekuatan dan kehebatan, tanpa harta dan benda, tanpa kemuliaan dan ketinggian serta tiada lagi persaudaraan dan kasih sayang. Perangai dan budi pekerti kita tidak baik, akhlak juga rosak, amal ibadah pun bermasalah dan perwatakan pun tidak elok. Segala keburukan telah wujud pada umat Islam dan umat ini telah jauh dari segala kebaikan.

Dewasa ini, apabila keadaan telah bertukar daripada buruk menjadi bertambah buruk, dan masa-masa yang mendatang kelihatan lebih bahaya dan gelap berbanding masa lalu, maka keadaan kita yang berdiam diri tanpa sebarang usaha adalah satu kesalahan yang tidak boleh dimaafkan. Walau bagaimanapun, sebelum kita memulakan sebarang tindakan, adalah penting untuk kita mencari punca kita menerima azab kehinaan dan kemunduran ini. Pelbagai pihak mengutarakan sebab yang berbeza terhadap kejatuhan umat kini dan hasil pendapat mereka itu, pelbagai usaha juga dijalankan bagi mengatasi masalah ini. Sehinggakan banyak usaha menghasilkan kegagalan dan tidak kurang juga yang telah merumitkan lagi masalah umat.

Satu janji yang benar dari Allah Yang Maha Memiliki dunia dan seisinya ialah pemerintahan dan khalifah di Bumi ini adalah milik orang-orang yang beriman. Firman Allah s.w.t. :

Terjemahannya : Allah menjanjikan orang yang beriman dan beramal soleh di kalangan kamu bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kekuasaan di Bumi sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa…[1]

Allah s.w.t. juga telah menjanjikan untuk memberi pertolongan kepada orang-orang beriman.

š

Terjemahannya : Adalah sememangnya menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.

Dan lagi firman Allah :

Terjemahannya : Sesungguhnya Kami akan menolong rasul-rsul Kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia dan pada hari kiamat ketika berdirinya para saksi[2].

Setelah kita meneliti ayat ini dengan situasi umat Islam semasa. Maka kita akan mendapati apa-apa yang dijanjikan oleh Allah tidak wujud pada umat ini. Sebaliknya umat ini berada dalam penindasan orang kafir, dihina, dikeji dan dianiyai tanpa sebarang pertolongan Allah yang sampai pada umat ini. Justeru satu kajian yang teliti perlu dilakukan tentang adakah syarat yang diletakkan oleh Allah untuk kita mendapat pertolongan dari-Nya serta berbagai kemuliaan lain sudah kita penuhi. Syarat yang disuebut adalah beriman.

Setelah kita teliti dengan baik, maka dalam ayat-ayat di atas dan seumpamanya, tidak ada satu pun janji itu ditujukan kepada umat Islam, sebaliknya janji-janji yang disebutkan Allah itu adalah kepada ‘orang-orang yang beriman’. Suatu masa telah datang kepada Nabi s.a.w. segolongan Arab Badwi dan mereka telah memeluk Islam lalu mereka mengatakan mereka telah beriman. Allah s.w.t. telah menurunkan ayat :

Terjemahanny : Orang-orang A’rab itu mengatakan kami telah beriman, katakanlah : “Kamu belum beriman, tetapi sementara iman belum lagi memasuki hati kamu, maka katalah “Kami telah Islam”.”[3].

Dalam ayat yang lain, Allah s.w.t. memberitahu ciri-ciri orang-orang yang beriman. Firman Allah s.w.t. :

Terjemahannya : Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu apabila disebutkan nama Allah bergetarlah hati mereka dan apabila dikemukakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka dan hanya kepada Allah mereka bertawakkal[4]

Hadis-hadis juga menunjukkan kepada kita ciri-ciri orang yang beriman :

عن أبي سعيد الخدري – رضي الله عنه – ، قَالَ : سَمِعت رَسُول الله – صلى الله عليه وسلم – ، يقول : (( مَنْ رَأى مِنْكُمْ مُنْكَراً فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ ، فَإنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ ، فَإنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ ، وَذَلِكَ أضْعَفُ الإيمَانِ )) رواه مسلم .

Terjemahannya : Dari Abu Said al-Khudri r.a., katanya : Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : Sesiapa yang melihat apa-apa kemungkaran maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah dia mengubah dengan lidahnya dan sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah dia merasakan kemungkaran itu keji di dalam hatinya. Itulah selemah-lemah iman (Riwayat Muslim)[5]

عن أبي أمامة : أن رسول الله صلى الله عليه و سلم سأله رجل فقال : يا رسول الله ما الإيمان ؟ قال : إذا سرتك حسنتك و ساءتك سيئتك فأنت مؤمن

Dari Abi Umamah : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. ditanya seorang lelaki dengan berkata : Wahai Rasulullah, apakah iman? Baginda berkata : Apabila kamu bergembira melakukan kebaikan dan bersedih atas amalah keburukan maka kamu beriman (Riwayat al-Hakim)[6].

Setelah diteliti, barulah kita memahami bahawa majoriti umat Islam hari ini belum lagi memenuhi ciri-ciri orang yang beriman. Disebabkan inilah umat Islam lemah untuk mengamalkan agama dan kemuliaan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. terhadap umat ini ditangguhkan. Maka satu-satunya usaha yang perlu dilakukan adalah usaha atas kerohanian umat. Kerana inilah pokok masalah. Apabila kerohanian diusahakan, maka segala masalah sampingan atau ranting seperti pengamalan syariat, pembentukan akhlak, penjagaan alam sekitar dan kemunduran umat dari segala sudut akan dapat diatasi. Apabila iman yakin yang dibina betul dan sempurna, maka segala perintah Allah akan ditaati dan segala sunnah nabi akan ditaati. Apabila majoriti umat mengamalkan keseluruhan agama diamalkan maka umat Islam akan dimuliakan oleh Allah dan kebatilan akan terhapus. Ini sepertimana berlaku ketika kewafatan nabi yang mana pada ketika itu agama telah diamalkan secara sempurna, maka orang-orang yang beriman telah dimuliakan oleh Allah s.w.t.

Pembinaan kerohanian umat ini perlu dibina pada setiap peringkat. Peringkat terbaik untuk diusahakan ialah di bangku sekolah kerana manusia pada peringkat awal umur mereka mudah untuk dididik dan dibina iman dan yakin mereka. Justeru itu menjadi peranan para guru Islam selaku da’ei di sekolah untuk membina dan memantapkan iman para pelajar.


[1] Al-Quran an-Nur (24:55)

[2] Al-Quran al-Mu’min (40:51)

[3] Al-Quran al-Hujurat (49:14)

[4] Al-Quran al-Anfal (8:2)

[5] Abu Zakariya Yahya bin Syarif an-Nawawi 2007 Riyadhus Sholihin (69) Emaniyat Nyerukasyani : Dhaka

[6] Muhammad Yusuf al-Kandhalawi 2012 Muntakhab Ahadis (11) Maktabah Ilmiah : Kuala Lumpur

About Muttaqin_165

Saya saudara kamu dalam Islam, Seorang Hamba Allah yang bercita-cita menjadi seorang penyeru manusia kepada Allah

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s