INTEGRITI
Pendahuluan

Sejak pemerintahan Tun Abdullah Badawi (Perdana Menteri Malaysia ke-5), kita sering mendengar tentang “integriti”, tambahan lagi dengan pengumumam Pelan Integriti Nasional yang seterusnya membawa kepada penubuhan Institut Integriti Malaysia. Integriti sering dikaitkan dengan amalan mulia.

Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, ‘ integriti’  membawa dua maksud, pertama ialah kejujuran, kedua ialah keadaan sempurna dan utuh, keutuhan dan ketelusan.

Perkataan ‘integriti’ berasal daripada perkataan latin iaitu integritas yang berasal daripada perkataan intact dan whole. Menurut Oxford Dictionary, Integrity dalam Bahasa Inggeris yang sama maksudnya dengan perkataan ‘integriti’ ditakrifkan sebagai ‘the quality of being honest and morally uprigh’.

Kesimpulan daripada takrifan diatas, integriti umumnya merujuk kepada sifat-sifat positif seperti  jujur, benar, amanah dan bertanggungjawab. Walaubagaimanapun perkataan ini lebih mengkhususkan sifat benar, jujur dan tulus atau dalam Bahasa Arabnya adalah siddiq. Perkataan siddiq sering disebut dalam al-Quran antaranya:

قُلۡ صَدَقَ ٱللَّهُ‌ۗ فَٱتَّبِعُواْ مِلَّةَ إِبۡرَٲهِيمَ حَنِيفً۬ا وَمَا كَانَ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ (٩٥)

Katakanlah (wahai Muhammad): “Benarlah (apa yang difirmankan oleh) Allah, maka ikutilah kamu akan ugama Nabi Ibrahim yang ikhlas (berdasarkan Tauhid), dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik.                                              ( Surah Ali Imran, 3 : 95 )

Keistimewaan Integriti

Ia merupakan sifat Allah swt:

ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ‌ۚ لَيَجۡمَعَنَّكُمۡ إِلَىٰ يَوۡمِ ٱلۡقِيَـٰمَةِ لَا رَيۡبَ فِيهِ‌ۗ وَمَنۡ أَصۡدَقُ مِنَ ٱللَّهِ حَدِيثً۬ا

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Sesungguhnya Dia akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat, (hari) yang tidak ada syak padanya dan siapakah pula yang lebih benar ( berintegriti) perkataannya daripada Allah?                                                                                                 ( Surah An-Nisa, 4 : 87 )

Integriti merupakan sifat Allah, maka sesiapa yang mempunyai sifat ini ertinya ia mempunyai sifat mulia yang ada pada Allah.,

Selain itu integriti merupakan sifat wajib bagi para nabi dan rasul yang diutuskan Allah. Ia adalah sifat wajib bagi nabi dan rasul selain daripada akauntabiliti, menyampaikan dan intelek. Para nabi dan rasul sentiasa berintegriti dalam menyampaikan risalahnya mereka hanya menyampaikan apa yang diwahyukan Allah. Firman Allah:

وَمَا يَنطِقُ عَنِ ٱلۡهَوَىٰٓ (٣) إِنۡ هُوَ إِلَّا وَحۡىٌ۬ يُوحَىٰ (٤)

Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. (3) Segala yang diperkatakannya itu (samada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya. (4)

( Surah An-Najm, 53 : 3-4 )

Allah telah menjanjikan keuntungan kepada orang-orang yang berintegriti bahawa mereka akan mendapat manfaat daripada apa yang mereka usahakan. Firman Allah :

قَالَ ٱللَّهُ هَـٰذَا يَوۡمُ يَنفَعُ ٱلصَّـٰدِقِينَ صِدۡقُهُمۡ‌ۚ لَهُمۡ جَنَّـٰتٌ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيہَآ أَبَدً۬ا‌ۚ رَّضِىَ ٱللَّهُ عَنۡہُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُ‌ۚ ذَٲلِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ (١١٩)

Allah berfirman: Inilah hari (kiamat) yang (padanya) orang-orang yang berintegriti (pada tutur kata dan amal perbuatan) mendapat manfaat dari kebenaran mereka; mereka beroleh Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia. Itulah kejayaan yang amat besar.                                                                 ( Surah Al-Maidah, 5 : 119)

Kepentingan Berintegriti

Berintegriti merupakan perintah Allah,. Sebagai seorang Muslim, mereka perlulah berintegriti sepanjang hidupnya. Islam tidak memisahkan agama dan kehidupan, oleh itu seorang Muslim dan sifat berintegriti tidak boleh dipisahkan kerana ia sebahagian daripada agama. Firman Allah :

ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَوۡفُواْ بِٱلۡعُقُودِ‌ۚ ُ

“Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah janji-janji kamu..”

Sifat integriti perlu bagi mengelakkan seseorang Muslim itu bersifat munaafik. Ini kerana sifat orang munafik ialah tidak berintegriti, iaitu khianat dan dusta. Firman Allah :

۞ وَمِنۡہُم مَّنۡ عَـٰهَدَ ٱللَّهَ لَٮِٕنۡ ءَاتَٮٰنَا مِن فَضۡلِهِۦ لَنَصَّدَّقَنَّ وَلَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ (٧٥) فَلَمَّآ ءَاتَٮٰهُم مِّن فَضۡلِهِۦ بَخِلُواْ بِهِۦ وَتَوَلَّواْ وَّهُم مُّعۡرِضُونَ (٧٦) فَأَعۡقَبَہُمۡ نِفَاقً۬ا فِى قُلُوبِہِمۡ إِلَىٰ يَوۡمِ يَلۡقَوۡنَهُ ۥ بِمَآ أَخۡلَفُواْ ٱللَّهَ مَا وَعَدُوهُ وَبِمَا ڪَانُواْ يَكۡذِبُونَ (٧٧)

“Dan di antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata: Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, tentulah kami akan bersedekah dan tentulah kami akan menjadi dari orang-orang yang soleh.

Kemudian setelah Allah memberi kepada mereka dari limpah kurniaNya, mereka bakhil dengan pemberian Allah itu, serta mereka membelakangkan janjinya dan sememangnya mereka orang-orang yang sentiasa membelakangkan (kebajikan).Akibatnya Allah menimbulkan perasaan munafik dalam hati mereka (berkekalan) hingga ke masa mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri apa yang mereka janjikan kepada Allah dan juga kerana mereka sentiasa berdusta.”( Surah At-Taubah,9 : 75 – 77 )

Munafik merupakan penyakit yang lebih bahaya daripada kekufuran. Orang – orang munafik akan berada di dasar neraka paling panas di akhirat.

Sifat integriti perlu dalam hubungan sesama manusia seperti urusan perniagaan, perkongsian dan pemberian amanah. Secara fitrahnya, manusia hanya mahu berurusan dengan orang yang berintegriti. Ini kerana orang berintegriti tidak akan menipu, seleweng, mungkir janji dan menyusahkan orang lain.

Integriti adalah asas dalam Islam, bermula dengan ucapan dua kalimah syahadah, seseorang itu perlu melakukannya dengan penuh kejujuran kepada diri sendiri. Kalimah syahadah hanya akan diterima oleh Allah sekiranya seseorang itu mengucapkannya dengan penuh kesedaran dan keyakinan tanpa berbelah bagi. Sekiranya seseorang itu masih dalam keadaan ragu-ragu, maka imannya tidak diterima oleh Allah. Tetapi manusia lain tidak tahu apa yang ada dalam hati orang lain, justeru, jika orang yang mengucapkan kalimah syahadah itu tidak berintegriti, maka dia boleh sahaja untuk mengkufuri iman yang diucapkan oleh lidahnya tanpa pengetahuan orang lain. Ini menunjukkan bahawa asas kepada Islam itu bermula dengan integriti seseorang itu terhadap Tuhannya.

Penghayatan Integriti Dalam Konteks Kecemerlangan Diri

1.Melakukan sesutu dengan penuh kesungguhan

Sebagaimana telah dijelaskan, integriti yang pertama perlu dihayati adalah integriti terhadap Allah. Integriti dengan Allah bermaksud seseorang itu benar-benar meyakini bahawa Allah itu wujud dan Dialah Tuhan kita. Mukmin yang mempunyai integriti yang tinggi terhadap Allah ini akan sentiasa melakukan sesuatu perkara itu dengan ikhlas kerana Allah semata-mata. Apabila sesuatu perkara itu dilakukan semata-mata, ia akan melakukan sesuatu dengan penuh kesungguhan. Ini kerana seseorang yang berintegriti dengan Allah itu akan memahami bahawa Allah menyuruh kita melakukan sesuatu dengan penuh kesungguhan dan memberi manfaat kepada umat manusia. Firman Allah :

وَمَنۡ أَحۡسَنُ دِينً۬ا مِّمَّنۡ أَسۡلَمَ وَجۡهَهُ ۥ لِلَّهِ وَهُوَ مُحۡسِنٌ۬ وَٱتَّبَعَ مِلَّةَ إِبۡرَٲهِيمَ حَنِيفً۬ا‌ۗ وَٱتَّخَذَ ٱللَّهُ إِبۡرَٲهِيمَ خَلِيلاً۬ (١٢٥)

“Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang dia berusaha mengerjakan kebaikan dan dia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid); dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya.”

(Surah An-Nisa’,4  : 12)

2. Melakukan tanggungjawab dan kerja dengan amanah

Sifat integriti terhadap Allah akan menyebabkan seseorang itu sentiasa bekerja dengan amanah samada dalam pekerjaan terhadap Allah dan sesama manusia. Ini kerana, dalam melakukan ibadah kepada Allah, seseorang itu akan melakukannya dengan penuh kecemerlangan pada setiap masa. Ini kerana dia melakukan sesutu ibadah itu semata-mata kerana Allah, bukan mengharapkan pujian dan perhatian makhluk. Begitulah halnya dengan amanah sesama manusia, sekiranyaintegritinya pada Allah tinggi, dia tidak akan berlaku khianat, bahkan beliau melakukan sesuatu pekerjaan dengan penuh tanggungjawab. Mereka inilah orang-orang yang berjaya dan cemerlang. Firman Allah :

قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ (١) ٱلَّذِينَ هُمۡ فِى صَلَاتِہِمۡ خَـٰشِعُونَ (٢) وَٱلَّذِينَ هُمۡ عَنِ ٱللَّغۡوِ مُعۡرِضُونَ (٣) وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِلزَّكَوٰةِ فَـٰعِلُونَ (٤) وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِفُرُوجِهِمۡ حَـٰفِظُونَ (٥) إِلَّا عَلَىٰٓ أَزۡوَٲجِهِمۡ أَوۡ مَا مَلَكَتۡ أَيۡمَـٰنُہُمۡ فَإِنَّہُمۡ غَيۡرُ مَلُومِينَ (٦) فَمَنِ ٱبۡتَغَىٰ وَرَآءَ ذَٲلِكَ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡعَادُونَ (٧) وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِأَمَـٰنَـٰتِهِمۡ وَعَهۡدِهِمۡ رَٲعُونَ (٨)

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu). (4) Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas. Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.”

(Surah Al-Mukminun, 22 : 1 – 8)

3. Tidak terpengaruh dengan godaan nafsu dan syaitan

Seseorang yang berinregriti tidak akan mudah terpengaruh untuk melakukan perkara negatif seperti rasuah, pecah amanah dan penyelewengan. Ini kerana mereka sentiasa sedar tanggungjawab mereka terhadap Allah. Biarpun beliau yakin tiada makhluk yang akan tahu jika dia melakukan sesuatu perbuatan terkutuk, namun dia tetap yakin Allah tahu segala perbuatannya dan dia merasakan bertanggungjawab untuk menjauhi segala amalan negatif.

4. Mengkaji sesuatu maklumat

Seseorang yang berintegriti tidak akan bertindak mengikut emosi. Sesuatu maklumat yang sampai kepada mereka akan ditapis dan dikaji terlebih dahulu, ini bagi mendapatkan maklumat yang sebenar dan mengelakkan daripad melakukan kesilapan dalam tindakan lanjutan. Dengan pengkajian yang mendalam ini, sesuatu maklumat akan didapati dengan tepat dan langkah susulannya dapat diatur dengan penuh kebijaksanaan. Ini dapat meningkatkan lagi kecemerlangan diri seseorang dalam membuat keputusan.

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٍ۬ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَـٰلَةٍ۬ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَـٰدِمِينَ (٦)

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

5. Istiqamah dalam kebenaran dan tanggungjawab

Mereka yang berintegriti tidak akan lari dari  kebenaran dan tanggungjawab yang diamanahkan, Walau apa dugaan yang datang melanda, kesetiaan mereka tidak akan tergugat. Kerana kesetiaan mereka didasari sifat integriti yang didasari keimanan yang tinggi, menatijahkan kecemerlangan diri. Mereka dengan jujurnya berpegang kepada firman Allah :

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعً۬ا وَلَا تَفَرَّقُواْ‌ۚ

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai

6. Jujur Menegakkan Kebenaran

Kecemerlangan diri seseorang yang berintegriti tidak hanya terhadap dirinya semata-mata, malahan meliputi mereka disekelilingnya yang boleh melangkai sekalian umat manusia. Perjuangan menegakkan kebenaran merupakan perjuangan yang hanya dapat dilalui oleh mereka yang mempunyai sifat integriti yang tinggi sahaja. Ia merupakan satu perjuangan yang merempuh penuh ranjau dan duri yang mampu merebahkan mereka yang kurang integritinya. Inilah kecemerlangan orang berintegriti. Hakikat ini telah dibuktikan oleh para nabi dan rasul. Firman Allah:

وَٱذۡكُرۡ فِى ٱلۡكِتَـٰبِ إِسۡمَـٰعِيلَ‌ۚ إِنَّهُ ۥ كَانَ صَادِقَ ٱلۡوَعۡدِ وَكَانَ رَسُولاً۬ نَّبِيًّ۬ا (٥٤)

“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ismail; sesungguhnya dia adalah benar menepati janji dan adalah dia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi.”                                                                               ( Surah Maryam, 19 : 54)

7. Berani Mengatakan Yang Hak

Mengatakan perkara hak adalah kewajipan, namun berapa ramai ulama yang berdiam diri dengan penyelewengan agama pemerintah. Ini kerana ulama telah hilang integritinya hingga sanggup berdiam diri dengan perkara yang telah terang kesalahannya. Ini kerana mengatakan yang benar merupakan sesuatu yang mencabar terutamanya pada zaman ini.

8. Berani Mengakui Kesilapan

Orang-orang yang mempunyai integriti yang tinggi adalah manusia bermaruah. Mereka bersikap professional dengan sedia mengakui kesilapan sekiranya didapati salah. Mereka yang berani mengakui kesilapan akan dihormati masyarakat dan dirahmati Allah.

9. Beramal Dengan Ilmu dan Apa Yang Diberitahu Kepada Orang Lain

Manusia yang berintegriti tidak hanya belajar ilmu dan mengajarkannya semata-mata, mereka mengamalkan ilmu yang mereka ajarkan itu. Ini kerana mereka meyakini bahawa mereka perlu mempunyai integriti atau kejujuran terhadap Allah tentang ilmu yang diajarinya. Firman Allah :

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفۡعَلُونَ (٢) ڪَبُرَ مَقۡتًا عِندَ ٱللَّهِ أَن تَقُولُواْ مَا لَا تَفۡعَلُونَ (٣)

“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.”                                   ( Surah As-Saff : 2 – 3 )

10. Mencari Keredhaan Allah

Merupakan kecemerlangan diri paling tinggi hasil daripada integriti terhadap Allah. Pada tahap ini, manusia melakukan sesuatu hanya kerana Allah. Oleh itu dunia tidak memberikan kesan kepadanya kerana yang diutamakan adalah mengejar keredhaan Allah.

Kesimpulan

Integriti merupakan satu amalan zahir dan batin yang perlu dihayati oleh setiap Muslim bagi menjana kecemerlangan di dunia dan di akhirat. Ia merupakan antara amalan asas dalam agama Islam. Ringkasnya, umat Islam perlu jujur dengan Allah, diri sendiri, manusia lain serta amanah yang diberikan kepada mereka.

About Muttaqin_165

Saya saudara kamu dalam Islam, Seorang Hamba Allah yang bercita-cita menjadi seorang penyeru manusia kepada Allah

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s