talaqqi

Wahyu yang pertama turun ialah ayat pertama hingga kelima Surah Al-Alaq :

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ (١) خَلَقَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مِنۡ عَلَقٍ (٢) ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ (٣) ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ (٤) عَلَّمَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ (٥)

Maksudnya : Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. Dia mengajarkanmu dengan pena, Mengajar manusia apa yang mereka tidak tahu. ( Surah Al-Alaq, 96 : 1 -5 )

Penurunan wahyu pertama tentang ilmu ini cukup untuk membayangkan betapa Allah swt menitikberatkan soal pendidikan dalam agama Islam. Kerana pendidikan adalaah asas. Dengan pendidikan barulah seseorang itu dapat mengenal Allah dan seterusnya mentauhidkannya. Seperti mana perintah Allah swt terhadap Nabi Muhammad saw supaya mengajak manusia mentauhidkanNya :

قُلۡ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ (١) ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ (٢) لَمۡ يَلِدۡ وَلَمۡ يُولَدۡ (٣) وَلَمۡ يَكُن لَّهُ ۥ ڪُفُوًا أَحَدُۢ (٤)

Maksudnya : Katakanlah :Dialah Allah Tuhan Yang Satu. Tuhan Yang Maha Esa. Tidak beranak dan tidak pula dilahirkan. Dan tiada sesuatupun yang sebanding denganNya.

falahiah2 (4)

Pendidikan berasal daripada perkataan ‘didik’ yang merujuk kepada ‘mengajar’ (Kamus Dewan 2002), mengasuh (Abdullah dan Ainon 1994) atau tarbiyah (Abdullah Ishak 1995). Dalam Bahasa Arab, ‘pendidikan disebut ‘al-tarbiyah’, ‘al-ta’dib’ dan ‘at-ta’lim’.

Perkataan ‘at-ta’li,m’ dalam Al-Quran antaranya digunakan pada ayat :

وَعَلَّمَ ءَادَمَ ٱلۡأَسۡمَآءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَہُمۡ عَلَى ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةِ فَقَالَ أَنۢبِـُٔونِى بِأَسۡمَآءِ هَـٰٓؤُلَآءِ إِن كُنتُمۡ صَـٰدِقِينَ (٣١)

Maksudnya : Dan Dia mengajarkan (allama) kepada Adam tentang nama berbagai batang dan atas malaikat dikatakan kemudian nyatakanlah nama-nama tersebut jika kamu mengetahui. (Surah Al-Baqarah, 2 : 31 )

Manakala perkataan tarbiyah pula disebut oleh Al-Quran dalam ayat :

Maksudnya : Dan hendaklah kamu merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, serta doakanlah (dengan berkata : “ Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih saying memelihara dan mendidikku (rabbayani) semasa kecil.” ( Surah Al-Isra’. 17 : 24 )

Perkataan ta’dib pula terdapat pada hadis Nabi Muhammad saw

Maksudnya  : Tuhanku telah mendidikku (addabani) dan menjadikan pendidikanku (ta’dibi) yang terbaik.

Oleh kerana wujudnya ketidakseragaman dari sudut istilahpendidikan dalamkalangan umat Islam, para sarjana Islam mula duduk semeja untuk menjari jalan penyelesaian. Persidangan Dunia Pertama Mengenai Pendidikan Islam di Mekah, Arab Saudi pada 1977 menegaskanpendidikandalam Islam didefinasikan sebagai al-ta’lim, al-ta’dib dan at-tarbiyah. Manakala tujuan pendidikan dalam Islam ialah melahirkan manusia yang baik (Al-Attas 1977).

Pendidikan dalam Islam adalah sangat luas dan bersepadu, merangkumi seluruh cara hidup manusia. Kurikulumny dating daripada Allah s.w.t, mengandungi aspek-aspek seperti akidah (kepercayaan), syariah (peraturan), ibadah (pekerjaan), akhlak (tingkah laku), sains, teknologi, sosiologi, politik, ekonomi dan lain-lain. Ia merangkumi kehidupan di dunia dan di akhirat dalam satu disiplin yang lengkap (Syed Qutb 1992).

Pendidikan dalam Islam memiliki keupayaan yang tidak terbatas dalam membangunkan jatidiri dan mengangkat darjat manusia ke tahap paling tinggi antara makhluk ciptaan Allah (S. S. Hussin dan Syed Ali Ashraf 1989).

Sebagai rumusannya, Pendidikan dalam Islam merupakan satu proses mendidik dan melatih seluruh potensi yang wujud dalam diri muslim dengan kerangka Islam bersepadu berasaskan prinsip-prinsip wahyu.Semua ilmu disandarkan kepada Allah dan matlamat akhirnya ialah melhirkan individu yang mengkagumi Allah s.w.t.. Maka semua ilmu perlulah diletakkan di bawah autoriti dan pengendalian Al-Quran dan As-Sunnah.

Akidah adalah berasal dari kata kerja ‘Aqada yang bermaksud simpul atau ikat. Ianya sering dikaitkan denganjual beli seperti ‘aqada al bayt yang bermaksud perjanjian jual beli. Al-Quran seringkali menyebut perkataan ini dengan maksud ‘ikatan perjanjian, contohnya :

وَٱلَّذِينَ عَقَدَتۡ أَيۡمَـٰنُڪُمۡ

Maksudnya : ….dan mana-mana orang yang telah kamu buat kontrak dengan mereka… (Surah An-Nisa’, 4 : 33)

Akidah ialah kepercayaan dan keyakinan yang pasti dan tidak berbelah bagi serta tanpa keraguan dan syak wasangka kepada Allah dan segala sifatnya (Sayyid Sabiq 2000).

Akidah atau iman disebut sebagai keyakinan bersungguh-sungguh bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. adalah Tuhan bagi segala sesuatu, Maha Kuasa dan Maha Pencipta. Di samping itu, iman juga merujuk kepada pengakuan yang teguh bahawa Allah s.w.t. sahaja yang berhak disembah dan dirujuk segala amalan (Muhammad Nu’aim 1991 ).

Muhammad Abduh (1994) pula mengatakan akidah ialah keyakinan kepada kewujudan dan keesaan Allah s.w.t. dan keyakinan kepada kewujudan dan keesaan Allah s.w.t. dan keyakinan kepada sifat-sifat serta perbuatan-perbuatan yang sabit denganNya kerana sesungguhnya Allah merupakan matlamat akhir dan tempat kembali segala makhluk di ala m ini.

Pendidikan akidah adalah asas kepada pembangunan manusia. Buktinya dapat dilihat apabila 56% daripada zaman penurunan wahyu, iaitu meliputi 13 tahun penyebaran dakwah di Mekah adalah tertumpu kepada pembinaan akidah.

Pendidikan akidah ialah pendidikan berterusan dan harus bermula dari usia tamyiz berdasarkan Surah Al-A’raff (2 :172), :

وَإِذۡ أَخَذَ رَبُّكَ مِنۢ بَنِىٓ ءَادَمَ مِن ظُهُورِهِمۡ ذُرِّيَّتَہُمۡ وَأَشۡہَدَهُمۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِمۡ أَلَسۡتُ بِرَبِّكُمۡ‌ۖ قَالُواْ بَلَىٰ‌ۛ شَهِدۡنَآ‌ۛ أَن تَقُولُواْ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ إِنَّا ڪُنَّا عَنۡ هَـٰذَا غَـٰفِلِينَ (١٧٢)

Maksudnya : Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak Adam dari sulbinya dan Dia menjadikan mereka sebagai saksi bagi diri mereka sendiri dan dikatakan kepada mereka, “Adakah Aku Tuhanmu”, lalu mereka menjawab, “Ya, bahkan kami bersaksi”. Yang demikian ialah agar mereka tidak berkata pada hari kiamat kelak, “Sesungguhnya kami golongan yang lalai (daripada diberi peringatan.

Dan Surah Luqman, (31 : 13-15)

وَإِذۡ قَالَ لُقۡمَـٰنُ لِٱبۡنِهِۦ وَهُوَ يَعِظُهُ ۥ يَـٰبُنَىَّ لَا تُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ‌ۖ إِنَّ ٱلشِّرۡكَ لَظُلۡمٌ عَظِيمٌ۬ (١٣) وَوَصَّيۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ بِوَٲلِدَيۡهِ حَمَلَتۡهُ أُمُّهُ ۥ وَهۡنًا عَلَىٰ وَهۡنٍ۬ وَفِصَـٰلُهُ ۥ فِى عَامَيۡنِ أَنِ ٱشۡڪُرۡ لِى وَلِوَٲلِدَيۡكَ إِلَىَّ ٱلۡمَصِيرُ (١٤) وَإِن جَـٰهَدَاكَ عَلَىٰٓ أَن تُشۡرِكَ بِى مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌ۬ فَلَا تُطِعۡهُمَا‌ۖ وَصَاحِبۡهُمَا فِى ٱلدُّنۡيَا مَعۡرُوفً۬ا‌ۖ وَٱتَّبِعۡ سَبِيلَ مَنۡ أَنَابَ إِلَىَّ‌ۚ ثُمَّ إِلَىَّ مَرۡجِعُكُمۡ فَأُنَبِّئُڪُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ (١٥)

Maksudnya : Dan ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa menasihatinya, “Wahai anakku, janganlah kamu mensyirikkan Allah, sesungguhnya syirik itu kezaliman yang besar. Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya,, ibunya mengandungkannya dengan kelemahan demi kelemahan dan tempoh menyusukan selama 2 tahun, berterima kasihlah padaKu dan kepada dua ibu bapamu dan kepada Akulah tempat kembali.

Kaedahnya ialah dengan cara mengenalkan anak dengan kuasa Allah yang luar biasa dalam penciptaan alam dan mendidik secara konsisten untuk mengingati Allah. (Nasih Ulwan 2000).

Al-Attas (1985) berpendapat, pendidikan akidah adalah satu proses berterusan dalam hidup manusia di muka bumi dan menjadi tanggungjawab kepada semua ahli masyarakat. Objektif pendidikan dalam Islam ialah untuk melahirkan manusia yang baik dan seimbang, iaitu manusia yang adil kepada diri dengan membina keyakinan dan keimanan yang teguh kepada Allah s.w.t. yang merupakan satu-satunya realiti yang mutlak. Pendidikan yang sebenar ialah integrasi daripada pelatihan fizikal dan pendisiplinan bahagian kerohanian manusia kea rah mencapai nilai kebahagiaan kerohanian yang merupakan kebahagiaan yang tertinggi dan bersifat abadi.

Sistem Pendidikan Kebangsaan pula menurut Bahagian 4, Sistem Pendidikan Kebangsaan Undang-undang Pendidikan 1996 mengandungi :

  1. Pendidikan pra sekolah
  2. Pendidikan rendah
  3. Pendidikan menengah
  4. Pendidikan lepas menengah
  5. Pendidikan tinggi

Tetapi tidak termasuk pendidikan di sekolah ekspatriat. Sekolah atau institusi ini terbahagi kepada tiga iaitu milik penuh kerajaan, bantuan kerajaan dan swasta.

Pendidikan Akidah Dalam Pendidikan Nasional

Jika dilihat kepada Falsafah Pendidikan kebangsaan 1987, Akidah menjadi suatu aspek penekanan utama dalam sistem pendidikan nasional. Falsafah Pendidikan Nasional menyebut :

Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan untuk memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insane cemerlang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan untuk mencapai kesejahteraan diri serta dapat menyumbang terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. ( Akta Pendidikan 1996)

Penekanan terhadap akidah dapat dilihat melalui frasa ‘..berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.’ Biarpun perkataan Allah tidak digunakan bagi menampakkan bahawa sistem pendidikan dijalankan untuk semua, ia tetap menampakkan penekanan terhadap konsep tauhid kepada Pencipta melalui konsep uluhiah dan rububiyah bagi orang Islam dan hanya rububiyah bagi bukan Islam.

Dalam melaksanakan Pendidikan Islam di Malaysia, kerajaan menetapkan pula Falsafah Pendidikan Islam. Falsafah Pendidikan Islam di Malaysia adalah :

“Falsafah Pendidikan Islam adalah satu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan al-Quran dan As-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat.”

Menurut Tajul Arifin Noordin (2007), Falsafah Pendidikan Kebangsaan secara umumnya ditubuhkan ke arah membina semula dasar pendidikan yang lebih mantap kepada agama, bangsa dan negara. Peranan pendidikan yang tidak hanya menumpukan kepada perpaduan negara dan penghasilan tenaga manusia. Peranan pendidikan turut ditumpukan kepada pembinaan insan secara menyeluruh untuk mewujudkan insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Intelek – Melahirkan individu yang berilmu dan beriman kepada Allah dan mantap keyakinan kepadaNya menerusi program-program yang dijalankan.

Rohani – Melahirkan insan-insan yang mempunyai rohani yang kukuh, tidak mudah terpedayadan terpengarruh kepada budaya merosakkan diri.

Emosi   – Melahirkan individu yang dapat mengawal emosi negatif yang membawa keruntuhan moral.

Jasmani   – Melahirkan insan yang sihat fizikalnya dan dapat menyumbangkan tenaga untuk membangunkan agama.

Setiap individu wajib diberikan pendidikan asas agama bagi melahirkan insan yang kamil.

Objektif Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah :

  1. Untuk mendidik pelajar mengenali Penciptanya.
  2. Mengukuh dan memantapkan akidah
  3. Mengenali diri dan tanggungjawab kepada pencipta.
  4. Mendidik dan memimpin akhlak pelajar.
  5. Membentuk manusia jadi insan kamil dan syamil.

Daripada sudut matlamat, ia sangat jelas apabila merujuk Falsafah Pendidikan Islam kerana :

  1. Tauhid adalah tunjang asas atau pokok bagi Islam
  2. Manakala Islam adalah agama rasmi bagi Malaysia.
  3. Islam bersifat universal berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah, inilah yang paling dasar.
  4. Sememangnya matlamat pendidikan berasaskan falsafah yang ditentukan  Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Islam jelas meletakkan Islam sebagai fokus utama.
  5. Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Islam berkait rapat. Kementerian juga menerangkan tentang ‘mencapai kebaikan di dunia dan kehidupan abadi di akhirat’ sebagai sesuatu yang dekat dengan tauhid.

Tajul Ariffin noordin dan Nor Aini Don (2007) berpendapat bahawa hala tuju pendidikan Malaysia cukup baik. Ini terbukti dengan pengenalan Kurikulum Bersepadu iaitu Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah. Kurikulum ini menekankan pemikiran yang sihat, emosi yang stabil dan kepelbagaian kemahiran. Matlamat Pendidikan Akidah di sekolah rendah ialah :

Supaya pelajar dapat memahami dan meyakini asas-asas keimanan sebagai pegangan akidah dan benteng agama.’

Matlamat Pendidikan Akidah di peringkat sekolah menengah pula ialah :

‘Untuk memantapkan pegangan akidah pelajar serta menghidupkan konsep tauhid secara sedar dalam keseluruhan amalan dan menjadi benteng keimanan’

Namun bagaimana dari sudut perlaksanaannya. Dan kenapa masih berleluasa kerosakan akidah, maksiat dan keruntuhan akhlak dalam kalangan pelajar. Ini memerlukan satu kajian tentang masalah yang dalam perancangan atau pelaksanaan serta cara mengatasinya.

Cabaran Pendidikan Akidah Dalam Pendidikan Nasional

1.Faktor Kerajaan dan Kementerian

a) Pelaksanaan Sistem Pendidikan Kebangsaan yang menuju ke arah sekular

Sekular bermaksud memisahkan agama dari kehidupan. Justeru itu pendidikan sekular ditakrifkan sebagai memisahkan ilmu-ilmu agama dan ilmu-ilmu kehidupan seperti sains, sejarah, bahasa dan matematik. Di Malaysia, biarpun dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaam disebutkan bahawa matlamat akhir sistem pendidikan ialah melahirkan insan yang seimbang berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan, namun jika kita lihat kepada perlaksanaannya, ia adalah lebih mirip kepada cara sekular. Pendidikan agama Islam di Malaysia terpisah daripada ilmu-ilmu lain. Di peringkat sekolah, mata pelajaran Pendidikan Islam diletakkan sebagai salah satu daripada mata-mata pelajaran lain seperti sains, matematik, bahasa, geografi, sejarah dan lain-lain. Dan pada mata pelajaran Pendidikan Islam yang satu itulah terbahagi pula kepada subjek-subjek agama seperti akidah, syariah, akhlak, Al-Quran, Al-Hadis, Jawi dan Bahasa Arab.

Sukatan mata pelajaran sains contohnya menggunakan frasa ‘alam semula jadi’ bagi merujuk kepada alam semesta ciptaan Allah, ini jelas mengambil ideologi barat dan mengsampingkan pemikiran akidah Islam iaitu Allah yang menciptakan alam ini. Mata pelajaran sejarah juga kurang dikaitkan dengan agama sebaliknya mengenangkan nostalgia sejarah-sejarah yang lepas dan menghafal tarikh-tarikh serta nama tokoh daripada mendidik pelajar mengambil iktibar daripada sejarah. Tidak dinafikan adanya guru-guru yang mengambil inisiatif sendiri untuk menekankan aspek akidah dan agama Islam dalam pengajaran namun ianya adalah kes terpencil dan bukanlah melibatkan secara keseluruhannya.

b) Meletakkan mata pelajaran Pendidikan Islam sebagai subjek sekunder.

Mata pelajaran Pendidikan Islam tidak dianggap sebagai mata pelajaran kelas pertama.  Tidak seperti Bahasa Melayu yang disyarattkan mendapat sekurang-kurangnya kredit untuk mendapatkan sijil, mata pelajaran Pendidikan Islam hanyalah satu mata pelajaran yang wajib diambil tetapi tidak disyaratkan lulus, ianya tidak dikira dalam kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi dan sebagainya termasuk permohonan kerja sekiranya syarat-syarat lain mencukupi. Ini bermakna, mereka yang tidak mempunyai asas agama yang kukuh berpeluang untuk menjadi golongan pembuat keputusan dan berkedudukan dalam masyarakat.

Apabila kerajaan tidak meletakkan Pendidikan Islam sebagai subjek penting dalam pendidikan, maka para pelajar juga akan memandang enteng tentang perkara ini sekaligus tidak bersungguh mempelajari dan menghayati Pendidikan Akidah dan Islamfalahiah1

c) Latihan perguruan tidak diasaskan kepada penekanan akidah dan agama

Guru adalah selaku murabbi dan muaddib memainkan peranan penting dalam usaha mencapai aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu melahirkan individu seimbang dan harmonis yang berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Walaubagaimanapun, pendidikan untuk bakal guru di Malaysia masih tidak menekankan pendekatan akidah dan Pendidikan Islam, mereka terus-terusan diulit dengan teori yang dibuat oleh mereka yang tidak ada agama di Eropah. Sepatutnya teori-teori seperti Teori Gardner itu perlu diacu semula di Malaysia untuk disesuaikan dengan pendidikan akidah dan Islam. Malahan teori-teori ulama terdahulu berkenaan dengan pendidikan guru dan cara pengajaran yang digali terus dari Al-Quran dan hadis ditinggalkan oleh orang Islam sendiri biarpun teori tersebut masih relevan untuk diikuti hingga hari ini.

Hasil daripada pendidikan guru yang tidak menekankan Pendidikan Akidah dan Pendidikan Islam ini, maka majoriti para guru yang dikeluarkan adalah guru yang tidak mampu memainkan peranan mendidik akidah dan ilmu-ilmu Islam kepada pelajar, mereka mungkin tidak sedar apa tuntutan Islam kepada mereka selaku para guru. Justeru akan  semakin rosaklah generasi akan datang yang dilahirkan oleh guru-guru sebegini. Dan apa  yang jadi pada matlamat Falsafah Pendidikan Negara hanyalah impian yang tidak tercapai  sahaja.

d) Sistem pendidikan yang terlalu berorientasikan peperiksaan

Sistem pendidikan kebangsaan yang terlalu berorientasikan menyebabkan pelajar belajar dengan niat untuk berjaya dalam peperiksaan dan dengan itu para guru dan pelajar sejak awal lagi sibuk untuk membincangkan soalan peperiksaan dan para guru berusaha menghabiskan sukatan mata pelajaran. Ini membuatkan para guru tidak mempunyai masa untuk menghayati nilai-nilai dalam Pendidikan Islam kerana pengajaran lebih tertumpu terhadap cara menghadapi peperiksaan. Dan selepas peperiksaan, para pelajar didapati lupa tentang nilai yang dipelajari kerana telah disetkan dalam minda bahawa dia belajar untuk peperiksaan dan bukannya untuk ilmu pengetahuan dan perintah Allah.

e) Masa yang diperuntukkan untuk Pendidikan Islam adalah kurang

Sepatutnya pendidikan agama menjadi teras kepada Sistem Pendidikan Kebangsaan, tetapi ianya tidak boleh berlaku sekiranya waktu yang diberi kepada mata pelajaran yang begitu penting ini hanya diberi ruang masa tidak sampai 10% daripada masa pengajaran dan pembelajaran di sekolah dalam seminggu. Berikut adalah maklumat masa yang diperuntukkan untuk Pendidikan Islam di sekolah :

Sekolah Rendah Kebangsaan : 180 minit seminggu

Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan : 150 minit seminggu

Sekolah Menengah (Menengah Bawah) : 240 minit seminggu

Sekolah Menengah (Menengah Atas) : 160 minit seminggu

f) Kelemahan Pendidikan Islam di Institut Pengajian Tinggi

Di peringkat pengajian tinggi, Pendidikan Akidah khususnya atau Pendidikan Islam amnya bukanlah satu mata pelajaran yang perlu di ambil oleh mahasiswa dan mahasiswi yang tidak mengikuti kursus pengajian Islam tidak akan mendapat pendidikan akidah. Ini menyebabkan mahasiswa semakin jauh daripada agama kerana pendidikan Islam yang tidak sempurna di peringkat sekolah tidak pula disambung ke peringkat IPT.

2. Faktor Pendidik

a) Penyampaian guru yang kurang berkesan

Pengajaran guru kurang berkesan menjadi salah satu punca utama perjalanan Pendidikan Aqidah. Ini dibuktikan melalui hasil kajian Dr. Abdul Halim Tamuri (2000), keatas 27 pelajar tingkatan empat di Negeri Sembilan dan Selangor yang menghadapi masalah pembelajaran mendapati bahawa punca mereka gagal ialah ;

  1. Tidak memahami apa yang diajar oleh guru mereka kerana kabur dengan penjelasan guru.
  2. Guru tidak mampu mengaitkan apa yang diajar dengan kehidupan seharian.
  3. Rasa mengantuk ketika proses pengajaran dan pembelajaran kerana bosan dengan cara pengajaran guru

Ini membuktikanbahawa masih ramai guru-guru agama yang tidak mampu memberikan pengajaran berkesan kepada para pelajar. Kegagalan ini akan membuatkan pelajar yang mengikuti pembelajaran tidak memperolehi manfaat dan paling merbahaya apabila pengajaran guru tersebut disalah fahami.

Antara punca pengajaran yang kurang menarik adalah hanya mengamalkan komunikasi yang sehala iaitu antara guru dengan pelajar serta kurangnya kepelbagaian dalam pengajaran.

b) Guru gagal menjadi uswatul hasanah

Ramai guru yang tidak menjadi contoh akhlak mulia kepada para pelajar. Padahal dakwah melalui tauladan itu lebih baik daripada dakwah yang hanya melalui lisan. Kegagalan seseorang guru menjadi tauladan kepada pelajar menyebabkan pelajar hilang rasa hormat kepada guru dan segala yang diberitahu guru tidak akan diambil perhatian oleh pelajar.Kelas Quran dan Muqaddam 1

3,Faktor Sosial

a)      Masyarakat majmuk

Faktor masyarakat majmuk seringkali dijadikan alasan untuk mengesampingkan pendidikan akidah dalam pendidikan nasional. Ini merupakan satu cabaran besar kepada kerajaan kerana sudah tentu tidak sesuai dan menerima bantahan sekiranya mata pelajaran akidah Islam kepada mereka.

b)      Ketidakselarian pendidikan akidah dengan keadaan masyarakat hari ini

Suasana negara hari ini sememangnya tidak kondusif untuk keselamatan akidah anak-anak. Dengan adanya pelbagai gejala sosial, hedonisme dan dasar langit terbuka, segala jenis pendidikan akidah yang diajar di sekolah tidak dapat dipraktikkan dengan baik oleh para pelajar yang kurang teguh imannya. Ini biasa terjadi apabila para pelajar bergaul dengan rakan sebaya diluar tanpa kawalan.

c)      Pendidikan akidah tidak ditekankan di rumah

Ibu bapa merupakan institusi pertama pembentukan akidah anak-anak manakala pihak sekolah hanyalah bertindak sebagai pembantu. Jika pelajaran agama di sekolah tidak dapat dipraktikkan atau ditekankan, maka ia memberi masalah kepada pelajar tersebut untuk menghayati ilmu yang dipelajari. Bayangkan bila seorang pelajar pergi ke sekolah dan belajar tentang kepentingan ibadah solat serta cara menunaikannya, namun apabila dia pulang ke rumah, ibu bapanyapun gagal atau jarang menunaikan solat, lalu ia menimbulkan satu peperangan di dalam hati pelajar itu sama ada ingin menurut ajaran guru atau meniru perbuatan ibu dan bapa mereka.

d)     Pandangan masyarakat terhadap keperluan kepada pendidikan akidah

Sememangnya ramai ahli masyarakat di zaman ini dengan yang memandang sebelah mata terhadap kepentingan pendidikan akidah. Mereka beranggapan bahawa pendidikan akidah tidak akan membawa seseorang itu ke mana. Ini menyebabkan para pelajar yang terpengaruh dengan pandangan ini sekaligus mereka juga bersifat sambil lewa apabila mempelajari ilmu ini.

e)      Ajaran-ajaran menyeleweng

Kini terdapat ajaran-ajaran menyeleweng dan fahaman-fahaman yang menggugat pemikiran orang Islam. Ia juga boleh menyerang para pelajar. Antara serangan pemikiran ke atas umat Islam yang cukup bahaya ialah sekularisme, liberalisme, femenisme dan pluralisme. Aliran ini merupakan satu cabaran kepada Pendidikan Akidah dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan.

f)       Pengaruh negatif media massa

Media massa sangat berpengaruh kepada masyarakat hari ini. Ia seterusnya mempengaruhi para pelajar dengan budaya hedonisme atau mementingkan hiburan. Ini merupakan isu yang sangat mencabar Pendidikan Akidah yang sangat kurang aksesnya di media massa. Pelajar yang terpengaruh dengan budaya ini akan terus leka dengan dunia hiburan tanpa mengambil peduli lagi penghayatan agama.

Harapan Pendidikan Akidah Dalam Pendidikan Nasional

1.Kerajaan dan Kementerian

a).Pengintegrasian Ilmu Wahyu dan Ilmu Kehidupan

Pengintegrasian ilmu wahyu dan bukan wahyu bermaksud menggabungkan jalinkan semua ilmu-ilmu seperti sains, teknologi, matematik dan sejarah dengan ilamu-ilmu wahyu seperti Akidah, syariah, akhlak, tafsir dan hadis. Semuanya akan dibahas menurut gaya kefahaman Al-Quran dan As-Sunnah dan matlamat akhir setiap ilmu ialah untuk mendekatkan manusia kepada Allah s.w.t..

Kelebihan pengintegrasian ilmu ini ialah bagi membolehkan pelajar melihat, memerhati, membahas, membuat kesimpulan dan membuat keputusan berdasarkan kacamata Islam. Dengan ini secara tidak langsung memantapkan akidah pelajar. Apabila pelajar diajar tentang proses kejadian manusia contohnya, kita boleh membahaskannya dari sudut sains dan bersandarkan dalil-dalil daripada Al-Quran dan As-Sunnah dan dikaitkan terus dengan kekuasaan Allah s.w.t.. Ini membolehkan para pelajar memahami dan mengkagumi kehebatan Allah s.w.t. dan meyakini kebenaran Al-Quran dan agama Islam,

Sesungguhnya kita perlu menyedari bahawa semua ilmu adalah kepunyaan Allah s.w.t.. Ilmu-ilmu yang berasaskan kebenaran, pembuktian dan fakta itu sekali-kali tidak akan bercanggah dengan ilmu-ilmu wahyu kerana keduanya saling berkait. Banyak ayat Al-Quran yang mengajak manusia memerhatikan kejadian-kejadian di alam fizikal ini seperti kesempurnaan kejadian alam, langit dan bumi, pertukaran malam dan siang dan kejadian pada diri manusia sendiri. Sebagaimana Firman Allah :

أَوَلَمۡ يَنظُرُواْ فِى مَلَكُوتِ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَمَا خَلَقَ ٱللَّهُ مِن شَىۡءٍ۬ وَأَنۡ عَسَىٰٓ أَن يَكُونَ قَدِ ٱقۡتَرَبَ أَجَلُهُمۡ‌ۖ فَبِأَىِّ حَدِيثِۭ بَعۡدَهُ ۥ يُؤۡمِنُونَ (١٨٥)

Maksudnya : Patutkah mereka tidak mahu memerhatikan alam langit dan bumi dan segala ciptaan Allah, dan ( memikirkan ) bahawa telah harus dekat ajal kebinasaan mereka? ( Surah Al-A’raf, 7 : 14 )

Persoalan yang ditumbulakan oleh sesetengah pihak yang mengatakan penganut agama lain akan dikesampingkan dalam system pendidikan nasional sekiranya ilmu-ilmu ini diintegrasikan boleh dipertikaikan kerana gagasan ilmu yang dintegrasikan itu itu melibatkan kebenaran dan bukti yang nyata seperti pembuktian fakta sains dan lain-lain yang tidak boleh dipertikaikan lagi.

b.Pendidikan Islam sebagai subjek teras

Kerajaan sepatutnya meletakkan subjek Pendidikan Islam sebagai mata pelajaran teras yang dititikberatkan dalam Pendidikan Nasional. Pendidikan Islam sepatutnya menjadi mata pelajaran wajib kredit sebagai syarat diberi sijil sebagaimana mata pelajaran Bahasa Melayu. Ini bagi membolehkan para pelajar member lebih tumpuan dalam mempelajari Pendidikan Islam.

Selain itu, subjek ini juga perlu menjadi mata pelajaran yang dinilai dalam pemilihan ke sekolah berasrama penuh, kolej matrikulasi dan institute pengajian tinggi. Ia juga boleh dinilai untuk pengambilan pekerja. Dengan ini para pelajar dan masyarakat tidak lagi menganggap Pendidikan Islam sebagai sesuatu yang sampingan.

c).Seterusnya dicadangkan juga kepada kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi supaya menggubal sistem pendidikan guru di Malaysia. Pendidikan guru di Malaysia perlulah menekankan nilai-nilai Islam yang berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Bakal-bakal guru Muslim perlu dididik agar mereka dapat membantu mengukuhkan akidah pelajar bila berkhidmat nanti. Persidangan Pertama Dunia Islam Mengenai Pendidikan Islam di Mekah pada tahun 1997 mencadangkan beberapa aspek yang perlu diambil dalam pembentukan guru, ( Ashraf 1985 )

  1. i.            Guru Muslim hendaklah dilatih supaya idea dan konsep mereka diilahamkan oleh keimanan dan peribadi mereka hendaklah berdasarian Islam supaya mereka boleh menjadi contoh dan tauladan kepada pelajar.
  2. ii.            Pemilihan dan perlantikan seorang guru tidak seharusnya berdasarkan kelulusan akademik semata-mata, tetapi juga hendaklah mengambil kira aspek keperibadian dan akhlak mereka.
  3. iii.            Institusi latihan guru hendaklah diberi perhatian dan peruntukan yang sewajarnya supaya bakal guru dapat dilengkapkan dengan berbagai kemahiran, disamping member motivasi kepada mereka.

d) Menggubal corak sistem yang berorientasikan peperiksaan

Pendidikan Malaysia hari ini yang terlalu  menumpukan kearah peperiksaan merupakan salah satu penyebab kurangnya penghayatan Pendidikan Akidah dan Pendidikan Islam. Sistem perlu diubah kepada penilaian yang lebih bersifat amalan seperti pembentangan, kerja kursus, tahap disiplin, kajian lapangan disamping peperiksaan bertulis.

e) Memberikan masa yang lebih sesuai untuk mata pelajaran Pendidikan Islam

Pendidikan Islam selaku mata pelajaran teras sepatutnya diberikaan lebih ruang masa untuk dilaksanakan di dalam kelas. Ianya ibarat enjin kepada mata pelajarn lain. Tanpa Pendidikan Islam, mata pelajaran lain akan pincang di sudut tauhid, pelaksanaan dan moralnya. Justeru adalah dicadangkan bahawa masa yang diperuntukkan untuk pelajaran Pendidikan Islam adalah sukurang-kurangnya meliputi 20% daripada masa pengajaran dan pembelajaran. Pembelajaran perlulah dibahagikan mengikut jadual akan bab-bab dalam Pendidikan Islam seperti akidah, syariah, akhlak, tilawah, amali, sirah dan jawi. Ini bagi memberikan pendidikan yang seimbang kepada pelajar.

f)Menjadikan subjek Pendidikan sebagai subjek teras di universiti

Pendidikan Islam perlu menjadi subjek teras di universiti. Ia perlu dijadikan satu mata pelajaran wajib universiti yang mana kelulusannya menjadi syarat diberi ijazah.

Satu cara lagi yang boleh dilakukan ialah setiap mahasiswa yang mengikut apa sahaja program perlu diberi diwajibkan mengambil sekurang-kurangnya satu jam kredit bagi mata pelajaran Pendidikan Islam. Ini adalah supaya setiap pelajar dari apa sahaja bidang mempunyai pegangan agama yang mampu membela diri mereka menempuh masa depan yang cukup mencabar ini.

2.Pendidik

Pendidik adalah aset penting dalam pembinaan akidah pelajar. Seorang pendidik perlu memiliki ciri-ciri pendidik yang baik dan boleh dijadikan contoh. Antara sifat yang perlu ada pada seorang guru bagi menjadikan seseorang itu guru yang berkesan untuk kemantapan akidah pelajar. Antara ciri guru berkesan menurut

a) Guru perlulah bersifat zuhud dalam kerjayanya. Pekerjaan yang dilakukan hendaklah ikhlas bagi mencari keredhaan Allah s.w.t. ( Abdul Halim El-Muhammady 1986 ). Apabila guru ikhlas mendidik, maka rahmat dan hidayah Allah akan turun dan masuk ke dalam hati pelajar. Dengan itu, setiap yang diajarkan akan meresap ke dalam diri pelajar.

b) Guru perlulah mendidik  para pelajar dengan penuh kesungguhan. Antara contohnya ialah guru mengajar di waktu tugasannya seperti mengadakan usrah dengan pelajar dan sebagainya. Dengan kesungguhan para guru ini, maka insyaAllah dapat membina akidah yang kukuh dalam kalangan pelajar.

c) Seseorang guru itu perlulah kreatif dalam melaksanakan corak pendidikannya. Dia perlulah menggunakan pelbagai cara bagi meransang keseluruhan kecerdasan pelajar seperti interpersonal, intrapersonal, kinestatik, semula jadi, logikal-matematikal, linguistik dan visual-ruang. Dengan meransang kecerdasan pelajar ini akan membolehkan pendidikan dihayati pelajar. Sebagaimana Firman Allah s.w.t. :

ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِ‌ۖ وَجَـٰدِلۡهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحۡسَنُ‌ۚ

Maksudnya : Dan serulah kepada jalan Tuahnmu dengan penuh kebijaksanaan, cara yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan penuh kebaikan ( Surah An-Nahl, 16 : 125 )

d) Seorang guru yang baik juga perlu mempunyai akhlak yang baik dan boleh menjadi contoh teladan yang baik kepada pelajar. Ini akan membolehkan para pelajar menghormati guru tersebut dan boleh menerima dengan baik segala didikan yang diberikan. Dakwah melalui contoh teladan itu lebih baik daripada dakwah melalui nasihat. Allah s.w.t. sangat mengutuk orang-orang yang hanya bercakap mengenai kebaikan tetapi tidak mengamalkannya. Firman Allah s.w.t. :

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفۡعَلُونَ (٢) ڪَبُرَ مَقۡتًا عِندَ ٱللَّهِ أَن تَقُولُواْ مَا لَا تَفۡعَلُونَ (٣)

Maksudnya : Wahai orang-orang beriman, bagaimana boleh kamu mengatakan (perkara baik) apa yang tidak kamu lakukan, amat berat kemurkaan Allah atas kamu mengatakan apa yang kamu tidak lakukan ( Surah Al-A’raaf, 61 : 2-3 )

3.Persekitaran Sosial

a) Kerajaan perlu tegas dalam membasmi sebarang agenda yang menggugat akidah umat Islam seperti ajaran sesat, pemikiran menyeleweng dan sebagainya. Ini adalah kerana perkara-perkara tersebut boleh mempengaruhi gaya pemikiran para pelajar.

b) Bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat khususnya pelajar, media massa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat agar masyarakat dapat menggalakkan para pelajar supaya belajar ilmu akidah.

c) Pendidikan akidah dan sokongan ahli keluarga adalah sangat penting dalam usaha menjayakan matlamat pendidikan akidah. Ibu bapa perlulah mendidik akidah kepada anak-anak mereka di rumah. Pendidikan di rumah dan di sekolah yang selari seterusnya akan melahirkan pelajar dan anggota masyarakat yang teguh imannya. Peranan ibu bapa ini digambarkan melalui nasihat Luqman kepada anaknya yang diabadikan oleh Allah dalam Al-Quran dalam Surah Luqman, (31 : 13-15)

وَإِذۡ قَالَ لُقۡمَـٰنُ لِٱبۡنِهِۦ وَهُوَ يَعِظُهُ ۥ يَـٰبُنَىَّ لَا تُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ‌ۖ إِنَّ ٱلشِّرۡكَ لَظُلۡمٌ عَظِيمٌ۬ (١٣) وَوَصَّيۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ بِوَٲلِدَيۡهِ حَمَلَتۡهُ أُمُّهُ ۥ وَهۡنًا عَلَىٰ وَهۡنٍ۬ وَفِصَـٰلُهُ ۥ فِى عَامَيۡنِ أَنِ ٱشۡڪُرۡ لِى وَلِوَٲلِدَيۡكَ إِلَىَّ ٱلۡمَصِيرُ (١٤) وَإِن جَـٰهَدَاكَ عَلَىٰٓ أَن تُشۡرِكَ بِى مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌ۬ فَلَا تُطِعۡهُمَا‌ۖ وَصَاحِبۡهُمَا فِى ٱلدُّنۡيَا مَعۡرُوفً۬ا‌ۖ وَٱتَّبِعۡ سَبِيلَ مَنۡ أَنَابَ إِلَىَّ‌ۚ ثُمَّ إِلَىَّ مَرۡجِعُكُمۡ فَأُنَبِّئُڪُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ (١٥)

Maksudnya : Dan ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa menasihatinya, “Wahai anakku, janganlah kamu mensyirikkan Allah, sesungguhnya syirik itu kezaliman yang besar. Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya,, ibunya mengandungkannya dengan kelemahan demi kelemahan dan tempoh menyusukan selama 2 tahun, berterima kasihlah padaKu dan kepada dua ibu bapamu dan kepada Akulah tempat kembali.

d) Harapan terhadap masyarakat majmuk

Masyarakat bukan Islam juga perlu diberi kefahaman asas agama Islam. Ini bagi membolehkan mereka memahami sedikit sebanyak kebaikan agama ini dan seterusnya menghormati agama Islam. Persoalan adakah mereka akan menetang perkara ini hanyalah bersifat spekulasi kerana apabila agama Islam itu dipakejkan menurut yang sebenarnya, maka semua anggota masyarakat akan dapat menerimanya kerana sifat agama Islam itu member rahmat kepada sekalian alam.

وَمَآ أَرۡسَلۡنَـٰكَ إِلَّا رَحۡمَةً۬ لِّلۡعَـٰلَمِينَ (١٠٧)

Maksudnya : Dan tidak Aku utuskanmu (wahai Muhammad ) melainkan untuk member kebaikan bagi sekalian alam ( Surah Al-Anbiya’,21 :107 )

Kesimpulan

Penekanan terhadap Pendidikan Akidah sememangnya telah jelas dan berpatutan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Namun yang menjadi cabaran ialah bagaimana untuk melaksanakannya dengan berkesan bagi mendidik pelajar mempunyai akidah yang teguh dan mantap. Justeru itu, adalah diharapkan Pendidikan Akidah akan menjadi teras kepada Sistem Pendidikan Negara bermula dari peringkat pra persekolahan hinggalah Institut Pengajian Tinggi kerana kepentingannya terhadap pembentukan iman dan pembinaan sahsiah Muslim. Ini kerana umat Islam tidak boleh mengambil mana-mana ideologi lain bagi mendidik generasi mereka kerana ideologi lain tidak membawa manusia mengenal dan beriman kepada Allah.

وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَـٰمِ دِينً۬ا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِى ٱلۡأَخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَـٰسِرِينَ (٨٥)

Maksudnya : Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, tidak akan diterima dan pada hari kiamat dia akan tergolong dalam golongan orang-orang yang rugi. ( Surah Ali Imran, 3 :85 )

Rujukan

  1. http://www.quranexplorer.com/quran/
  2. Abdul Latif Bin Muda dan Rosmawati bt, Ali @ Mat Zin, 1998. Pengantar Ilmu Tauhid. Kuala Lumpur : Pustaka Salam Sdn Bhd.
  3. Dr. Abul Salam Muhamad Shukri, 2003. Panduan Mengajar Akidah Kepada Kanak-kanak. Pahang : PTS Publication.
  4. Dr. H Abuddin Nata, 2001. Metodologi Studi Islam. Indonesia : PT Raja Grafinda Persada.
  5. Drs. M. Yatimin Abdullah, 2006. Studi Islam Kontemporer. Indonesia : Penerbit AMZAH.
  6. Muhd Yusuf Hassan, 2007. Islam Hadhari : Menangani Gelombang Globalisasi. Perak ; Universiti Pendidikan Sulatan Idris.
  7. Wan Mohd Nor Wan Daud, 2006. Masyarakat Islam Hadhari. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
  8. http://www.gemaislam.net/artikel/TAUHID_ASAS_DALAM_PENDIDIKAN_ISLAM.pdf
  9. http://www.gemaislam.net/artikel/Konsep_Tadib_dalam_Pendidikan.pdf

http://www.gemaislam.net/artikel/PENYEPADUAN%20ILMU%20WAHYU%20DAN%20ILMU%20BUKAN%20WAHYU%20satu%20analisa%20kritikal-hamizul.pdf

About Muttaqin_165

Saya saudara kamu dalam Islam, Seorang Hamba Allah yang bercita-cita menjadi seorang penyeru manusia kepada Allah

2 responses »

  1. Salam Akhi. Terima kasih di atas perkongsian pendapat, buah fikiran yang dimuatkan dalam post ini. Alhamdulillah, amat membantu saya untuk bahan presentation saya. Teruskan usaha dan niat murni Akhi dalam menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini. Sesungguhnya, saya berbangga dengan adanya schoolmate seperti Akhi. Geng Falahiah. Terkejut bila saya tengok gambar Dewan Haji Wan Adan dan Dataran Astaka di atas. Syukran! :)

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s