AE98AA

PENDAHULUAN

Solat merupakan syariat Allah yang diturunkan kepada umat manusia. Ia digelar sebagai tiang agama. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w. : ( maksudnya ) Pangkal semua urusan adalah Islam, tiangnya ialah solat dan puncak tertingginya ialah jihad ( Riwayat Tarmizi )

Solat adalah ibadah yang amat penting dalam Islam, ia diletakkan sebagai Rukun Islam yang kedua, sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w. : ( maksudnya ) Islam itu dibina atas lima perkara, persaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad Rasullullah, menunaikan solat….. ( Riwayat Bukhari dan Muslim ).

Ia merupakan amalan pertama yang akan dihisab di akhirat : ( maksudnya ) Amalan yang mula-mula dihisab dari seorang hamba pada hari kiamat ialah solat, Jika solatnya baik, baiklah keseluruhannya. Tetapi jika solatnya buruk, buruk semua umatnya. ( Riwayat Tarmizi dan Abu Daud )

Solat merupakan ibadah yang sempurna dan mempunyai berbagai hikmah, baik dari sudut kerohanian, emosi dan fizikal. Antara yang disebut oleh Allah di dalam Al-quran ialah solat sebagai pembentuk akhlak yang baik. Firman Allah s.w.t. :

وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ‌ۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِ‌ۗ

Dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. “ ( Surah al-Ankabut, 29 : 45 )

Solat merupakan ibadah didikan Allah s.w.t. dalam membentuk akhlak seseorang muslim. Setiap orang Islam yang menghayati ibadah solat akan mempunyai keperibadian yang tinggi. Kerana didikan sempurna melalui solat oleh Allah s.w.t..

Tugasan yang saya lakukan ini adalah bertujuan mengenalpasti beberapa kaedah Allah s.w.t. mendidik akhlak manusia melalui solat bermula daripada syarat sahnya sehinggalah sesudah solat. Kerana sememangnya Nabi Muhammad s.a.w. itu telah diutuskan untuk menyempurnakan akhlak umat manusia. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. ( maksudnya )

Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak ( Riwayat Ahmad )

Takrif

Solat merupakan perkataan Bahasa Arab yang bermaksud sembahyang. Dari sudut Bahasa Arab bermaksud doa, dalam Al-Quran, perkataan As-Solah juga disebut dengan nama ini sepertimana Firman Allah s.w.t. :

وَٱسۡتَعِينُواْ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِ‌ۚ

“ Dan mintalah pertolongan tuhanmu dengan cara sabar dan doa ( as-solah )”

( Surah Al-Baqarah, 2 :45 )

solat mana

Menurut istilah ialah suatu ibadah kerana Allah yang dimulai dengan takbiratul ihram dan disertai perbuatan dan perkataan tertentu dan diakhiri dengan salam.

Dr Shalih bin Ghanim bin Abdillah As-Sadlani mentakrifkan solat sebagai :

Makna solat dari Allah ialah Rahmat, sedangkan makna solat beerti rukun-rukun yang dikhususkan dan zikir-zikir yang telah dimaklumi dengan syarat-syarat yang dibatasi dengan waktu tertentu atau perkara yang diawali dengan takbiratul ihram dan diakhiri dengan salam. “ ( Shalat Jama’ah : Panduan, Hukum, Hikmah, Sunnah, dan Peringatan Penting Tentang Pelaksanaan Shalat Jamaah )

Akhlak ialah perkataan Arab yang berasal dari kata khuluq yang bermaksud tabiat, kelakuan atau tingkah laku (al-tabi`ah), perangai (al-sajiyah), maruah (al-Muru’ah), kelaziman atau kebiasaan (al-`adah). Perkataan (al-khulq) ini di dalam Al-Quran:

وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ۬

Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia. (Al-Qalam:4)

Takrif akhlak menurut Imam Ghazali dalam Ihya Ulumuddin ialah :

suatu keadaan yang tertanam di dalam jiwa yang menampilkan perbuatan-perbuatan dengan senang tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian. Apabila perbuatan  yang terkeluar itu baik dan terpuji menurut syara dan aqal, perbuatan itu dinamakan  akhlak yang mulia. Sebaliknya apabila  terkeluar perbuatan yang buruk, ia dinamakan  akhlak yang buruk.solat-di-mana-jua

1. Solat Mendidik Aqidah Muslim

Solat sangat menekankan akidah, solat perlu dilakukan semata-mata kerada Allah, barulah diterima olehNya. Ianya merupakan lambang pengabdian kita kepada Allah s.w.t.. Ketika solat, kita disunatkan membaca doa iftitah, dalam doa iftitah kita sering mengucapkan bahawa solat kita adalah kerana Allah s.w.t.. Sebagaimana Firman Allah :

قُلۡ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحۡيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ (١٦٢) لَا شَرِيكَ لَهُ ۥ‌ۖ وَبِذَٲلِكَ أُمِرۡتُ وَأَنَا۟ أَوَّل ٱلۡمُسۡلِمِينَ (١٦٣) ُ

Katakanlah, sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku kerana Allah tuhan sekalian alam, Tiada sesuatu melainkannya dan dengan itulah aku diperintahkan dan aku termasuk orang-orang terawal Islam ( berserah diri )“ ( Surah al-Anam, 6 : 162 – 163 )

Didikan akidah merupakan asas terpenting dalam membina akhlak manusia. Seorang yang bersolat dengan penuh keyakinan bahawa dia sedang berhadapan dengan Allah s.w.t. akan membawa sifat itu dalam kehidupan, iaitu menyedari bahawa setiap saat Allat memerhatikannya. Oleh itu mereka mempunyai kekuatan yang tersendiri untuk menjaga akhlak mereka daripada melakukan perkara yang dimurkai Allah.

Manusia yang sentiasa mengingati Allah inilah yang dikatakan sebagai orang yang berakhlak paling mulia, mengingati Allah dalam setiap tindak-tanduk sebagaimana Firman Allah s.w.t. :

ٱلَّذِينَ يَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَـٰمً۬ا وَقُعُودً۬ا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمۡ وَيَتَفَڪَّرُونَ فِى خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ رَبَّنَا مَا خَلَقۡت هَـٰذَا بَـٰطِلاً۬ سُبۡحَـٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ (١٩١)َ

Orang-orang yang mengingati Allah ketika berdiri, duduk dan berbaringnya dan memikirkan kejadian langit dan bumi, ( lalu berkata ), Wahai Tuhan kami, sesungguhnya engkau jadikan ini sia-sia, Maha Suci Allah, jauhkan kami dari azab api neraka “

( Surah Ali Imran, 3 : 191 )

Dalam sebuah hadis, diriwayatkan :

Seorang penzina tidak akan berzina ketika dirinya beriman, seorang peminum arak tidak akan meminumnya padahal dia beriman, seorang perompak yang hanya akan membuatkan mangsanya melihat sahaja perbuatannya tidak akan melakukannya ketiaka dirinya ada iman”

2. Membuang Sifat Mazmumah

Setiap gerakan solat mempunyai falsafahnya yang tersendiri, kerana pergerakan dan kaifiyat itu adalah susunanNya untuk kekasihNya Nabi Muhammad s.a.w. dan seluruh umat manusia.Ketika rukuk dan sujud, perlulah digambarkan dalam hati bahawa Zat Allah adalah Zat Yang Maha Sempurna. Ketika sujud, sayugialah menyedari betapa Agung Allah s.w.t. dan kerdilnya diri, Kayanya Allah dan fakirnya hamba, Alimnya Allah dan jahilnya hamba, Gagah Perkasanya Allah dan lemahnya kita. Apabila memasukkan kedalam hati sifat kesempurnaan Allah, maka dengan sendirinya tubuh seseorang itu akan membongkok menghinakan diri.

Jika mahu dibandingkan dari sudut kebijaksanaan dengan Allah :

لِّلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَمَا فِى ٱلۡأَرۡضِ‌ۗ وَإِن تُبۡدُواْ مَا فِىٓ أَنفُسِڪُمۡ أَوۡ تُخۡفُوهُ يُحَاسِبۡكُم بِهِ ٱللَّهُ‌ۖ فَيَغۡفِرُ لِمَن يَشَآء وَيُعَذِّبُ مَن يَشَآءُ‌ۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ ڪُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ (٢٨٤)ُ

Kepunyaan Allah segala yang ada dilangit dan di bumi, dan jika kamu melahirkan atau menyembunyikan semuanya dalam perhintungan Allah. Allah mengampunkan orang yang dikehendaki dan mengazab orang yang dikehendaki “ ( Surah Al-Baqarah, 2 : 284 )

Sifat perhambaan ini akan melahirkan individu yang bersih hati dan ikhlas amalnya. Individu yang solat dengan penuh penghayatan akan menyedari walau siapapun mereka, mereka adalah hamba Allah yang hina dihadapannya. Tiada siapa yang mengetahui siapa lebih mulia daripada siapa dalam kalangan muslim, kerana tiada nilaian harta, pangkat, keturunan dan keilmuan di hadapan Allah selain daripada taqwa. Firman Allah s.w.t. :

إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَٮٰكُمۡ‌ۚ

Sesungguhnya orang paling mulia disisi Allah adalah orang paling bertaqwa ”

( Surah al-Hujurat, 49 :13 )

Apabila seseorang individu itu menyedari betapa hinanya diri disisi Ilahi, maka dalam hatinya akan terbuang dengan sendirinya sifat takabbur yang membesarkan diri, kerana dia menyedari bahawa semua kelebihannya adalah daripada Allah. Begitu juga dengan sifat riak atau menunjuk-nunjuk kerana semua amalan hanyalah kerana Allah,  membuang sifat ujub atau merasa diri hebat, bijak dan berkemampuan kerana menyedari semuanya pemberian Allah. Begitu juga sifat-sifat mazmumah lain. Dengan itu akan masuklah kedalam hati sifah al-khayr, ihsan, taqwa, amanah, benar dan sabar serta sifat-sifat mahmudah.

3. Mendidik Muslim Menjaga Masa

Masa adalah suatu ciptaan Allah yang sangat penting bagi umat manusia. Hinggakan Allah s.w.t. sendiri bersumpah dengan masa. Firman Allah s.w.t.:

وَٱلۡعَصۡرِ

Maksudnya : Demi masa

( Surah Al-Asr, 103 : 1 )

Dalam peribahasa Melayu, wujud peribahasa ‘Masa itu emas’, dalam Bahasa Arab pula masa diibaratkan sebagai pedang. Ini menunjukkan kepentingan masa. Ia tidak dianggap sebagai sesuatu yang remeh kerana masa yang berlalu tidak akan kembali lagi.

Solat adalah suatu ibadah yang ditetapkan pada waktunya. Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

فَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ‌ۚ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتۡ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ كِتَـٰبً۬ا مَّوۡقُوتً۬ا

Maka dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu difardhukan kepada orang-orang beriman mengikut ketetapan waktunya’   ( Surah An-Nisa, 4:103)

Sebelum mensyariatkan solat kepada manusia, Allah s.w.t. telah menetapkan waktu-waktu tertentu bagi muslimin melakukan solat. Solat Zuhur contohnya bermula apabila gelincirnya matahari ke sebelah barat, dan ianya tamat apabila bayang-bayang sesuatu objek dibawah sinaran matahari lebih panjang dari ukuran asalnya. Ini bermakna ibadah solat perlulah dilakukan dalam waktu tersebut, bukan lebih awal atau lebih lewat daripada waktu yang ditetapkan. Begitu juga solat fardhu yang lain, semuanya ada had masanya.

Begitulah Allah s.w.t. membentuk akhlak menjaga waktu melalui ibadah solat. Seseorang Muslim perlu menepati masa dalam kehidupannya. Baik dalam melaksanakan tugas, menunaikan amanah, tanggungjawab sesama manusia dan sebagainya, ia perlulah dilakukan dalam konteks masa yang telah ditetapkan.

Falsafah yang dibawa oleh Allah s.w.t. melalui ibadah solat tentang masa ialah sesuatu tugasan perlu disiapkan pada masanya, biarpun apa halangannya, selagi ianya bukan halangan yang dibenarkan oleh syara’, maka ianya perlu disiapkan biarpun sebesar mana sekalipun urusan lain kita.

4. Mendidik Sifat Sabar

Allah s.w.t. juga mendidik muslimin untuk bersifat sabar melalui solat. Solat merupakan ibaadah yang wajib dilakukan oleh Muslimin yang tiada uzur syar’i pada waktunya. Keadaan manusia yang bermacam-macam seperti susah untuk bangun pagi, sibuk dengan urusan, keletihan dalam urusan dan sebagainya merupakan cabaran yang besar untuk melakukan ibadah solat. Justeru, hanya mereka yang mempunyai kesabaran yang tinggi sahaja mampu melaksanakannya. Sebagaimana Firman Allah s.w.t.:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱسۡتَعِينُواْ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ

Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan dengan cara solat dan sabar, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar” ( Surah Al-Baqarah, 2 : 153 )

Dan juga Firman Allah s.w.t. :

وَٱسۡتَعِينُواْ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِ‌ۚ وَإِنَّہَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى ٱلۡخَـٰشِعِينَ

Dan mintalah pertolongan Allah dengan solat dan sabar, sesungguhnya solat itu sangat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. “ ( Surah Al-Baqarah, 2 : 53 )

Dalam solat juga perlu ada kesabaran, dalam masa lima hingga lapan minit kebiasaannya kita mengerjakan solat, pelbagai cobaan dan gangguan samada zahir dan batin hadir. Justeru, seseorang Muslim itu perlulah sabar untuk menolak semua cobaan dan ganguan tersebut.

Sabar sangat perlu dalam kehidupan manusia, kerana dengan sifat sabarlah seseorang muslim mempunyai sesuatu asbab bagi kekuatan untuk melakukan ibadah dan meninggalkan amalan yang dimurkai Allah s.w.t.. Sifat sabar melahirkan individu yang istiqamah, gigih, teliti dan berhati-hati dalam kehidupan.

Sifat sabar dalam melaksanakan solat perlulah diaplikasikan di luar solat, kerana dalam menghadapi kehidupan manusia berdepan dengan pelbagai cabaran yang menggugat iman seperti kesibukan, tekanan, musibah, nikmat dan godaan, maka kesabaran yang dididik oleh Allah s.w.t. adalah memainkan peranan utama bagi menjaga iman dan diri pengamalnya Jika kita sanggup bersabar untuk mengerjakan solat, kerana ia merupakan kewajipan dari Allah s.w.t., maka adakah kita tidak sanggup bersabar daripada melakukan maksiat kepada Allah s.w.t..

5. Mendidik Muslim Menjaga Kehormatan

Antara syarat sah solat ialah pelakunya diwajibkan menutup aurat. Aurat bagi lelaki dalam solat menurut jumhur ulama ialah antara pusat hingga lutut. Manakala bagi perempuan pula ialah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Ia merupakan satu cara Allah mendidik kita supaya menjaga kehormatan diri samada dari sudut berpakaian dan perlakuan. Ini melambangkan orang muslim adalah manusia yang bermaruah.

Sebagaimana dalam solat, begitu jugalah seseorang muslim wajib menutup aurat daripada pandangan golongan bukan mahram. Sebagaimana Firman Allah s.w.t. :

وَقُل لِّلۡمُؤۡمِنَـٰتِ يَغۡضُضۡنَ مِنۡ أَبۡصَـٰرِهِنَّ وَيَحۡفَظۡنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَا‌ۖ وَلۡيَضۡرِبۡنَبِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِہِنَّ‌ۖ وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوۡ ءَابَآٮِٕهِنَّ أَوۡ ءَابَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوۡ أَبۡنَآٮِٕهِنَّ أَوۡ أَبۡنَآءبُعُولَتِهِنَّ أَوۡ إِخۡوَٲنِهِنَّ أَوۡ بَنِىٓ إِخۡوَٲنِهِنَّ أَوۡ بَنِىٓ أَخَوَٲتِهِنَّ أَوۡ نِسَآٮِٕهِنَّ أَوۡ مَا مَلَكَتۡ أَيۡمَـٰنُهُنَّ أَوِ ٱلتَّـٰبِعِينَ غَيۡرِ أُوْلِىٱلۡإِرۡبَةِ مِنَ ٱلرِّجَالِ أَوِ ٱلطِّفۡلِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يَظۡهَرُواْ عَلَىٰ عَوۡرَٲتِ ٱلنِّسَآءِ‌ۖ وَلَا يَضۡرِبۡنَ بِأَرۡجُلِهِنَّ لِيُعۡلَمَ مَا يُخۡفِينَ مِنزِينَتِهِنَّ‌ۚ وَتُوبُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ ِ

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. ( Surah An-Nuur, 24 : 31 )

Seorang muslim perlu memelihara aurat dan kehormatannya sebagai mematuhi perintah Allah s.w.t. supaya mereka tidak mudah diganggu dan supaya menunjukkan akhlak yang baik dan sopan-santun dengan bukan mahram tidak pernah memisahkan cara berpakaian yang diwajibkan dalam solat, itulah juga cara berpakaian muslimin dan muslimat yang diwajibkan ketika berhadapan dengan bukan mahram. Cuma sesetengah muslim yang hanya sempurna menutup aurat ketika bersolat tetapi kemudian membuangnya adalah kerana tidak mengikut nilai akhlak yang diamalkan.

Perintah menutup aurat oleh Allah s.w.t. ini tidak lain hanyalah bagi menjaga kehormatan dan mengelakkan gangguan sebagaimana firman Allah s.w.t. :

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّبِىُّ قُل لِّأَزۡوَٲجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَآءِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ يُدۡنِينَ عَلَيۡہِنَّ مِن جَلَـٰبِيبِهِنَّۚ ذَٲلِكَ أَدۡنَىٰٓ أَن يُعۡرَفۡنَ فَلَايُؤۡذَيۡنَۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورً۬ا رَّحِيمً۬ا

Wahai Nabi, perintahkanlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuan kamudandan perempuan-perempuan yang beriman supaya melabuhkan pakaian mereka menutupi seluruh tubuh mereka ( kecuali muka dan tapak tangan ), cara sedemikian adalah lebih sesuai untuk mereka dikenal dan maka dengan itu mereka tidak akan diganggu. Dan ingatlah Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. ( Surah Al-Ahzab, 33 :59 )

Selain didikan menutup aurat, Allah juga mengajar kita melalui solat tentang penjagaan maruah dan kemaluan. Salah satu ciri manusia yang berjaya dan dituntut Islam ialah memelihar maruah dan kemaluan. Firman Allah s.w.t. :

قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ (١) ٱلَّذِينَ هُمۡ فِى صَلَاتِہِمۡ خَـٰشِعُون (٢)

وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِفُرُوجِهِمۡ حَـٰفِظُونَ (٥) إِلَّا عَلَىٰٓ أَزۡوَٲجِهِمۡ أَوۡ مَا مَلَكَتۡ أَيۡمَـٰنُہُمۡ فَإِنَّہُمۡ غَيۡرُ مَلُومِينَ (٦)َ

Sesungguhnya berjayalah orang-orang beriman, mereka yang khusuk dalam solatnya,……. Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri dan hamba sahaya mereka. ( Surah Al-Mukminun, 23 : 1-2 dan 5-6 )

Ini bermakna, Islam apabila melarang sesuatu, ia merupakan hanya salah satu juzuk daripada banyak lagi yang masih halal. Contohnya apabila mengharamkan zina bagi kemaluan muslim, Islam menetapkan peraturan kahwin yang ternyata lebih efektif dan praktikal.

6. Mendidik Muslim Mementingkan Kebersihan

Syarat sah solat lagi ialah bersih pakaian, diri dan tempat solat daripada sebarang najis. Segala baik apabila kita hendak mengerjakan solat, Firman Allah s.w.t. :

يَـٰبَنِىٓ ءَادَمَ خُذُواْ زِينَتَكُمۡ عِندَ كُلِّ مَسۡجِدٍ۬

Wahai orang-orang beriman, pakaikanlah dirimu dengan pakaian indah pada setiap kali menghadiri masjid ( untuk solat ) “     ( Surah Al-A’raf, 7 : 31 )

Solat mengajar muslim agar menjaga dan mengambil berat soal kebersihan. Kebersihan sangat digalakkan dalam agama. Umat Islam digalakkan mengamalkan kebersihan dalam kehidupan seharian. Al-Jamil yang bermaksud Maha Cantik merupakan salah satu nama Allah s.w.t..

Sesungguhnya Allah itu cantik dan sukakan kecantikan “ ( Riwayat Tarmizi )

Kebersihan merupakan aspek zahir penilaian seseorang yang lain terhadap umat Islam. Jika umat islam tidak mengamalkan kebersihan, golongan yang tidak faham tentang agama Islam akan mendakwa Islam sebagai agama yang pengotor, tidak syumul dan dilabel negatif.

Justeru individu muslim yang tidak mengamalkan kebersihan secara tidak langsung telah memburukkan agama Islam. Padahal Islam agama yang mementingkan kebersihan, syumul dan sesuai sepanjang zaman. Melalui solat, umat Islam diajar mengamalkan kebersihan.

Kebersihan yang dididik di dalam solat bukanlah terhad kepada aspek lahiriah semata, ia termasuk juga aspek batiniah. Seorang muslim perlulah membersihkan dirinya daripada sifat riak, takabbur, ujub, hubbul jah, hasad, bakhil, ghurur dan sifat-sifat mazmumah yang lain.

7. Mendidik Muslim Menyucikan Diri Dari Dosa

Apabila mahu mengerjakan solat, kita mestilah ada wudhu’, dan jika kita berhadas, perlulah mandi sebelum mengerjakan solat. Sebagaimana Firman Allah s.w.t. :

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا قُمۡتُمۡ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ فَٱغۡسِلُواْ وُجُوهَكُمۡ وَأَيۡدِيَكُمۡ إِلَى ٱلۡمَرَافِقِ وَٱمۡسَحُواْ بِرُءُوسِكُمۡ وَأَرۡجُلَڪُمۡ إِلَى ٱلۡكَعۡبَيۡنِ‌ۚ وَإِن كُنتُمۡ جُنُبً۬ا فَٱطَّهَّرُواْ‌ۚ

Wahai orang-orang beriman, apabila kamu ingin solat, hendaklah kamu membersihkan wajahmu dan tanganmu hingga ke siku, basuhlah kepalamu dan kakimu hingga ke buku lali, dan jika kamu berjunub, maka mandilah “ (Surah Al-Maidah, 5 : 6 )

Wudhu dan mandi adalah lambang penyucian diri. Setelah berjam-jam dengan urusan dunia, apabila hendak mengerjakan solat, kita disyaratkan mengambil wudhu sebagai lambang penyucian lahir dan batin kita. Dari sudut lahir, kita membersihkan muka, tangan, kepala dan kaki. Dari sudut batin ialah membasuh muka sebagai isyarat menyucikan diri daripada dosa mata dan lidah, membasuh tangan adalah menyucikan dosa-dosa di tangan, membasuh kepala adalah menyucikan diri dari dosa-dosa fikiran dan membasuh kaki adalah membersihkan diri dari dosa kaki.

Justeru, solat juga mendidik manusia mempunyai akhlak yang baik iaitu menyucikan diri daripada dosa dengan bertaubat. Akhlak taubat ini ialah menyesali segala perbuatan negatif yang dilakukan dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Akhlak taubat akan melahirkan akhlak-akhlak  yang lain lagi.

Solat mengajar kita untuk bermuhasah tentang akhlak kita sepanjang hari dalam tempoh masa tertentu. Apakah sepanjang masa tersebut kita melakukan akhlak yang diredhai Allah, samada percakapan, penglihatan, pemikiran, tangan dan kaki kita.

8. Mendidik Muslim Menjaga Tingkah Laku

Seseorang muslim yang solat perlu menjaga tingkah lakunya agar tidak membatalkan solat. Mereka tidak boleh terlalu banyak melakukan gerakan yang tidak perlu kerana dikhuatiri boleh membatalkan solat. Orang-orang muslim yang melakukan solat cukup berhati-hati dalam setiap gerakan solatnya. Mereka melakukan sesuatu gerakan seperti qiam, rukuk, i’tidal, sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyat dengan sesempurna mungkin.

حَـٰفِظُواْ عَلَى ٱلصَّلَوَٲتِ وَٱلصَّلَوٰةِ ٱلۡوُسۡطَىٰ وَقُومُواْ لِلَّهِ قَـٰنِتِينَ

Peliharalah akan solat kamu dan solat wusta, dan kerjakanlah dengan hati yang khusyu’”

( Surah Al-Baqarah, 2 : 238 )

Akhlak dalam solat ini perlulah juga dilaksanakan oleh orang muslim diluar solatnya. Seorang muslim yang mengerjakan solat perlulah melaksanakan urusan kehidupannya dengan sempurna. Mereka perlu melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang dipikulkan atas bahu mereka. Sesuatu pekerjaan perlu dilakukan dengan penuh berkualiti dan bersungguh. Mereka juga perlu menghormati ibu bapa, sesama manusia dan menjaga tingkah laku dalam kehidupan seharian.

Sebagaimana di dalam solat seorang muslim itu meninggalkan perbuatan yang boleh membatalkan solatnya atau membuatkan solatnya tidak sempurna, begitulah mereka perlu menjaga tingkah laku mereka daripada melakukan perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah s.w.t.. Seorang muslim yang menghayati falsafah solat sentiasa berhati-hati dalam tindakannya agar sentiasa diredhai Allah s.w.t. dan tidak menimbulkan fitnah sesama manusia.

Seorang muslim perlu meninggalkan perkara yang dilarang Allah seperti mengambil barang orang lain tanpa hak, mengkhianati amanah dan mendekati zina. Mereka tidak boleh melanggar batas yang Allah telah tetapkan. Kerana setiap kesalahan akan dicatatkan sebagai dosa atas pelakunya dan akan dipersoalkan dihari kiamat. Sepertimana Firman Allah s.w.t. :

ٱلۡيَوۡمَ نَخۡتِمُ عَلَىٰٓ أَفۡوَٲهِهِمۡ وَتُكَلِّمُنَآ أَيۡدِيہِمۡ وَتَشۡہَدُ أَرۡجُلُهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ

Pada hari itu kami kunci mulut mereka lalu berkatalah tangan mereka dan bersaksilah kaki mereka akan segala perbuatan mereka ( semasa di dunia ) ( Surah Yaa Siin, 36 : 65 )

9. Mendidik Muslim Menjaga Lisan

Sebagaimana perbuatan, dalam solat, seseorang muslim itu juga hanya boleh menyebut ayat quran, bacaan wajib dan sunat, doa dan zikir dalam bahasa Arab sahaja. Jika bertutur selain daripada itu dengan sengaja dan tanpa sebab yang diizinkan, maka solatnya akan terbatal.Sabda Nabi s.a.w. :

Sesungguhnya tidak patut ada sedikitpun perkataan manusia dalam solat”

( Riwayat Muslim )

Selain daripada larangan bercakap urusan lain, seorang muslim itu juga berhati-hati dengan bacaannya ketika mengerjakan solat agar tidak tersalah sebut atau tertukar maksudnya bagi bacaan wajib yang boleh menyebabkan batal solat seseorang itu. Bagi bacaan ayat al-Quran yang sunat perlulah berhati-hati bagi mengelakkan kesilapan yang boleh memberikan dosa kepada seseorang didalam solat.

Aplikasi akhlak yang dididik kepada muslim oleh Allah melalui solat ialah menjaga lisan agaterhindar daripada melakukan dosa, perkara sia-sia dan menimbulkan fitnah. Solat mengajar kita agar hanya mengucapkan perkara yang bermanfaat seperti berpesan-pesan kearah kebaikan dan mencegah kejahatan, memperkatakan kebenaran, berzikir dan membaca Al-Quran. Manusia yang memperkatakan perkara selain itu dikira berada dalam kerugian Firman Allah s.w.t. :

وَٱلۡعَصۡرِ (١) إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِى خُسۡرٍ (٢) إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ

Demi masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, serta berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan kepada kesabaran “ ( Surah Al-Asr, 103: 1-3 )

Seorang muslim berkualiti perlu menjaga lidahnya daripada melakukan perkara yang dilarang Allah. Mereka perlulah berhati-hati dalam setiap ucapan agar tidak dimurkai Allah. Seorang muslim perlulah menjauhi ucapan-ucapan seperti mengumpat, menabur fitnah dan hasut-menghasut. Firman Allah s.w.t. :

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا يَسۡخَرۡ قَوۡمٌ۬ مِّن قَوۡمٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُونُواْ خَيۡرً۬ا مِّنۡہُمۡ وَلَا نِسَآءٌ۬ مِّن نِّسَآءٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُنَّ خَيۡرً۬ا مِّنۡہُنَّ‌ۖ وَلَا تَلۡمِزُوٓاْ م أَنفُسَكُمۡ وَلَا تَنَابَزُواْ بِٱلۡأَلۡقَـٰبِ‌ۖ بِئۡسَ ٱلِٱسۡ لۡفُسُوقُ بَعۡدَ ٱلۡإِيمَـٰنِ‌ۚ وَمَن لَّمۡ يَتُبۡ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ (١١) يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرً۬ا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَٱلظَّنِّ إِثۡمٌ۬‌ۖ وَلَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًا‌ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُڪُمۡ أَن يَأۡڪُلَ لَحۡمَ أَخِيهِ مَيۡتً۬ا فَكَرِهۡتُمُوهُ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌ۬ رَّحِيمٌ۬ٱ

Wahai orang-orang beriman, janganlah segolongan kamu mengutuk segolongan lain kerana mungkin yang dikutuk itu lebih baik daripada kamu, dan janganlah segolongan perempuan kamu mengutuk segolongan perempuan yang lain kerana mungkin mereka lebih baik daripada yang mengutuk. Janganlah segolongan kamu mendedahkan aib segolongan yang lain dan janganlah kamu memanggil segolongan yang lain dengan hinaan. Seburuk-buruk perkataan ialah kufur setelah beriman, sesiapa yang tidak bertaubat, maka mereka golongan yang zalim. Wahai orang-orang beriman jauhkanlah kamu daripada bersangka kerana sebahagian sangka itu berdosa, dan janganlah kamu mengumpat sesame kamu, sudikah kiranya kamu makan daging saudara kamu yang telah mati, sudah tentu kamu jijik, bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. ( Surah Al-Hujurat, 49 : 11-12 )

Justeru solat mengajar kita supaya berhati-hati dalam ucapan bagi mengelakkan dosa dan kesan buruk kepada umat. Orang yang berakhlak pada perkataannya akan dirahmati Allah dan disanjungi manusia.

10. Mendidik Muslim Menundukkan Pandangan

Dalam melaksanakan ibadah solat, kita disunatkan untuk sentiasa melihat kepada tempat sujud ketika solat. Adalah makruh seseorang itu berpaling ke hulu dan ke hilir dalam solatnya. Firman Allah s.w.t. :

وَأَقِيمُواْ وُجُوهَكُمۡ عِندَ ڪُلِّ مَسۡجِدٍ۬ وَٱدۡعُوهُ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ‌ۚ

Dan luruskanlah wajahmu ( dan hatimu ) pada setiap solat dan ikhlaskan niatmu terhadap ketaatan. “ ( Surah al-A’raff, 7 : 29 )

Falsafah daripada perbuatan tersebut antaranya ialah didikan Allah kepada hambanya supaya menundukkan atau menjaga pandangan. Ini bermaksud, seseorang Muslim itu perlu menjaga pandangan daripada melihat perkara yang tidak diredhai Allah s.w.t.. Contohnya ialah melihat kepada perkara yang memberahikan, maksiat dan sebagainya. Firman Allah :

قُل لِّلۡمُؤۡمِنِينَ يَغُضُّواْ مِنۡ أَبۡصَـٰرِهِمۡ وَيَحۡفَظُواْ فُرُوجَهُمۡ‌ۚ ذَٲلِكَ أَزۡكَىٰ لَهُمۡ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا يَصۡنَعُونَ (٣٠) وَقُللِّلۡمُؤۡمِنَـٰتِ يَغۡضُضۡنَ مِنۡ أَبۡصَـٰرِهِنَّ

Katakanlah kepada orang-orang beriman lelaki : Tundukkanlah pandangan kamu dan jagalah kemaluanmu, itu lebih baik bagi kamu, Sesungguhnya Allah Maha Mendalam pengetahuanNya tentang apa yang kamu kerjakan. Dan katakanlah kepada orang-orang beriman perempuan : Tundukkanlah pandangan kamu….“ ( Surah An-Nuur, 24 : 30-31)

Seseorang muslim hanya boleh melihat perkara-perkara yang harus dan sunat. Orang muslim disunatkan untuk melihat kepada kejadian alam, mushaf Al-Quran dan perkara-perkara bermanfaat.

11. Mendidik Muslim Bertertib dan Bertama’ninah

Dalam solat mesti ada tertibnya dan ia termasuk dalam rukun solat. Tertib bermaksud berurutan. Contohnya bermula dengan takbiratul ihram, diikuti dengan membaca fatihah, rukuk, I’tidal dan sujud, ianya perlu dilakukan secara berturutan dan tidak boleh melangkaui rukun atau menyusunnya dengan susunan lain.

Tama’ninah pula bermaksud bertenang untuk sementara. Ianya merupakan rukun solat menurut sebahagian besar ulama’. Ia bermaksud dalam sesuatu rukun solat seperti rukuk, sujud, duduk antara dua sujud dan iktidal, perlu ada tempoh bertenang untuk seseorang itu berada dalam rukun tersebut.

Tertib dan tama’ninah ini juga perlu ada dalam kehidupan seseorang muslim. Dalam kehidupan seseorang muslim itu, perlu melakukan sesuatu dengan tenang, bertahap dan terancang. Seorang Muslim perlu berhati-hati dalam tindakannya, tidak boleh tergopoh-gapah dan bertindak melulu, mereka perlulah berstategis dan bertenang dalam setiap tindakan, firman Allah s.w.t. :

إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلَّذِينَ يُقَـٰتِلُونَ فِى سَبِيلِهِۦ صَفًّ۬ا كَأَنَّهُم بُنۡيَـٰنٌ۬ مَّرۡصُوصٌ۬

Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang di jalannya dengan barisan yang teratur sepertimana satu bangunan yang kukuh. ” ( Surah As-Saff, 61 : 3 )

Inilah yang dididik oleh Allah s.w.t. dalam solat setiap Muslim, Islam tidak pernah mendidik umatnya menjadi pelampau, penggopoh dan bersifat negatif.

Penutup

Sememangnya solat merupakan agen utama pembentukan akhlak muslim. Tetapi, jika amalan itu masih tidak mampu menjadikan seseorang itu seorang muslim yang baik, maka yang salah dan tidak sempurna ialah individu tersebut. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. :

Sesiapa yang solatnya tidak menghalang seseorang itu daripada perkara keji dan mungkar, maka ia semakin jauh dari Allah “ ( Riwayat Abi Haitam dan At- Tabarani )

Rujukan

Hafiz Firdaus Abdullah, 2006. Beberapa Persoalan Solat. Johor. Perniagaan Jahabersa.

K.H. Mawardi Labay El-Sulthani, 1998. Zikir Dan Doa Mendirikan Solat Yang Khusyuk. Indonesia. Yayasan Al-Mawardi

Amru Khalid, 2007. Meraih Kenikmatan Ibadah, Indonesia. Embun Publishing

Mohd Sulaiman Yasin, 1992. Akhlak dan Tasawuf, Selangor. Yayasan Salman

Fauzinaim Badaruddin, 2009. Konsep Akhlak Dalam Islam, Selangor. SPIN UKM

Nik Abdul Aziz Nik Mat, 16 – 31 Mac, 2008. Memuji Allah tidak terhad dengan bilangan angka. Fikrah Harakah, halaman 7.

Hafiz Firdaus Abdullah, Oktober 2005. Pakaian Muslimah Bertakwa. Majalah I, halaman 72-74.

http://www.quranexplorer.com/quran/

http://blogs.iium.edu.my/norasita/2008/11/28/

Perihal Muttaqin_165

Saya saudara kamu dalam Islam, Seorang Hamba Allah yang bercita-cita menjadi seorang penyeru manusia kepada Allah

One response »

  1. akina berkata:

    terbaik!!.. pemberian ilmu yang sangat bermakna..

  2. Federico berkata:

    However, over 18% of US adults feel more serious types of Anxiety problems. we want in order to save your from hordes of hours of study and additionally painful trial and additionally mistakes. Whatever kind of job you use for will most likely require a job interview, created, and additionally so you need to overcome your very own anxiety and discover a means to deal with all the condition to ensure that there are through it and additionally be offered the job toward the end of all of it.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s